Calon PRN Johor disaran buat ujian psikometrik rasuah
Ukur kecenderungan individu berkaitan isu integriti

BANGI, 28 Jamadilakhir 1443H, Isnin – Ahli politik termasuk calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disaran mengambil ujian psikometrik Rasuah Buster Tag (RBTag) sebagai mengukur kecenderungan tahap integriti diri.
Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Datuk Seri Halim Ishak berkata, ujian RBTag bukan untuk mencari salah, sebaliknya demi kebaikan bakal calon dan ia tidak menjejaskan peluang mereka untuk menjadi calon PRN Johor.
“RBTag adalah alat untuk mengukur kecenderungan seseorang individu berkaitan dengan isu integriti yang menjurus kepada perlakuan salah guna kuasa dan rasuah.
“Kami menyarankan agar setiap calon atau parti yang akan bertanding pada PRN Johor dapat menghubungi pasukan RBTag Rasuah Busters untuk menduduki ujian psikometrik kerana ini adalah masa yang paling sesuai,” katanya seperti dilapor Sinar Harian, hari ini.
Ujian tersebut diyakini boleh membuktikan kepada masyarakat bahawa calon-calon yang terpilih adalah berintegriti dan selayaknya dipilih untuk menjadi wakil mereka.
Beliau menegaskan, ujian psikometrik ini juga boleh diperluaskan untuk diguna pakai dalam kalangan penjawat awam sebagai penanda aras integriti untuk sesebuah jabatan.
“Sekiranya mereka boleh menggesa mana-mana penjawat awam untuk melaksanakan ujian tersebut maka setiap kenaikan pangkat, kemasukan bakal penjawat awam boleh lebih telus dan berintegriti,” katanya.
Penggunaan ujian psikometrik RBTag itu merupakan amalan digunakan di negara yang berada dalam kedudukan 20 teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) antaranya Denmark, Finland, New Zealand, Sweden dan termasuk negara jiran, Singapura.