Berita Utama

Harga runcit maksimum ayam standard dikurangkan 20 sen mulai 5 Februari

Permit import ayam bulat dibuka kepada semua pemegang Permit Kelulusan

KUALA LUMPUR, 28 Jamadilakhir 1443H, Isnin – Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) mengenai Industri Pengeluaran Makanan yang berlangsung hari ini memutuskan, harga runcit maksimum bagi ayam standard dikurangkan sebanyak 20 sen kepada RM8.90 daripada harga siling RM9.10 yang ditetapkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mempengerusikan mesyuarat berkenaan berkata, bagi harga telur ayam untuk semua gred adalah kekal seperti harga kawalan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) semasa.

Beliau berkata, pelaksanaan kedua-dua harga berkenaan akan bermula dari 5 Februari sehingga 5 Jun ini.

“Kerajaan akan memberikan subsidi bagi memastikan harga barangan dapat dikawal seperti SHMKM dan perincian subsidi ini akan dilakukan oleh Pasukan Khas Mengenai Kos Sara Hidup Negara yang akan diketuai Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta beberapa kementerian, wakil syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan persatuan pengguna sehingga harga kembali stabil,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Ismail Sabri berkata, selain itu, permit import ayam bulat juga dibuka kepada semua pemegang Permit Kelulusan (AP) bagi mengimport ayam, berbanding sebelum ini hanya dibenarkan mengimport keratan ayam seperti kepak, paha dan lain-lain. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button