Berita Utama

ISMA, Yayasan Maghfirah lancar kempen Malaysia Sejahtera Tanpa Arak

Kempen sentuh polisi negara, tatacara jualan arak

BANGI, 28 Jamadilakhir 1443H, Isnin – Insiden membabitkan peminum arak bukan isu baharu, namun sehingga kini masih belum ditangani secara tuntas.

Atas rasa tanggungjawab, gerakan Islam ISMA dan Yayasan Maghfirah melancarkan kempen Malaysia Sejahtera Tanpa Arak yang turut mendapat sokongan beberapa badan bukan kerajaan (NGO).

PEACE, Indahnya Islam, PEMBELA dan ACCIN turut menjayakan kempen gergasi kepada rakyat Malaysia berkenaan bahaya arak kepada masyarakat.

ISMA menerusi satu kenyataan berkata, kempen ini bukan sahaja disasarkan kepada muslim sahaja, namun ia menyasarkan kepada setiap lapisan masyarakat.

Ini kerana, gerakan Islam itu percaya bahawa kesan arak ini kepada masyarakat sangat besar bahkan dalam mana-mana agama pun melarang penganutnya meminum arak.

“Kempen ini akan diadakan sepanjang Februari sehingga Mac di seluruh negara.

“Kempen ini bukan sahaja berjalan dari segi kempen kesedaran sahaja, tetapi ia adalah kempen yang akan menyentuh polisi-polisi negara,” katanya.

Selain itu katanya, kempen berkenaan turut membabitkan tatacara jualan arak di kedai-kedai termasuklah menyentuh penguatkuasaan undang-undang sedia ada terhadap apa-apa yang berkaitan dengan arak.

“Oleh itu rakyat Malaysia, sudahkah anda bersedia?

“Bersedia untuk menyahut kempen gergasi yang dinamakan, Malaysia Sejahtera Tanpa Arak,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button