Berita Utama

Maszlee nafi dakwaan rasuah, anggap cubaan pembunuhan karakter

Didakwa terima Vellfire, wang daripada pembekal untuk Kementerian Pendidikan

KUALA LUMPUR, 28 Jamadilakhir 1443H, Isnin – Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menafikan sebarang salah laku selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka siasatan bagi menyiasat dakwaan rasuah terhadapnya.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata, dakwaan itu, termasuk dakwaan beliau menerima wang ketika menjadi menteri, adalah cubaan pembunuhan karakter berniat jahat (mala fide) oleh pihak tertentu menjelang PRN Johor dan komitmennya dalam isu pendidikan.

“Saya mengalu-alukan sebarang siasatan kerana saya tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan,” katanya di Facebook, hari ini.

Pada masa sama, Dr Maszlee berkata, beliau komited untuk memperjuangkan kebajikan pengundinya.

Terdahulu, sumber dilaporkan berkata siasatan sedang dijalankan untuk memeriksa dakwaan bahawa Maszlee telah menerima kenderaan jenama Toyota Vellfire semasa beliau menjadi menteri.

Difahamkan, penyiasat telah menerima maklumat tersebut baru-baru ini dan telah mula meneliti dakwaan itu.

Maszlee adalah Menteri Pendidikan di bawah kerajaan Pakatan Harapan dari 2018 hingga awal 2020. Beliau melepaskan jawatan itu pada 2 Januari 2020.

Sementara itu, SPRM menafikan dakwaan mengenai ugutan oleh pegawainya seperti yang didakwa Dr Maszlee.

Agensi antirasuah itu berkata, pihaknya menerima dua aduan terhadap bekas Menteri Pendidikan dan sedang menyiasat perkara itu.

“SPRM ingin menegaskan bahawa proses siasatan perlu dijalankan selepas terdapat aduan rasmi berhubung kesalahan rasuah dan salah guna kuasa seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang.

“Setiap siasatan yang dijalankan adalah mengikut prosedur operasi standard termasuk dengan menemu bual beberapa saksi yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan.

SPRM menggesa pihak yang disiasat memberikan kerjasama sepenuhnya dan tidak mensensasikan proses siasatan.

SPRM juga berkata ia tidak akan tunduk kepada tekanan daripada mana-mana pihak yang mempunyai niat untuk mengalihkan isu rasuah dan salah guna kuasa, sambil menambah bahawa siasatan akan telus, adil dan profesional.

Semalam, Maszlee menyifatkan siasatan SPRM terhadap dirinya dan beberapa pegawainya di Parlimen Simpang Renggam sebagai satu bentuk intimidasi.

Maszlee difahamkan bahawa SPRM turut menyoal siasat beberapa pegawai di Kementerian Pendidikan yang didakwanya sebagai usaha untuk mencari kesalahan terhadap dirinya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button