Berita Utama

PRN Johor: Tiada ‘Nujum Pak Belalang’ ramal parti mana boleh menang mudah

Kehadiran pengundi muda 18 tahun ibarat 'game changer': MP Pasir Gudang

BANGI, 29 Jamadilakhir 1443H, SelasaSukar untuk meramalkan parti mana yang dipilih sebagai pemerintah negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal menyaksikan pertembungan beberapa gabungan politik besar seperti Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

Apatah lagi, situasi politik ketika pelaksanaan PRN Johor dilihat sebagai sejarah baharu dan tidak sama seperti PRN lain sebelum ini.

Atas sebab itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menyifatkan PRN di negeri berkenaan tidak boleh dibandingkan dengan pilihan raya di Sabah, Sarawak dan Melaka.

“Tidak ada yang boleh jadi ‘Nujum Pak Belalang’ meramal parti mana boleh menang mudah dengan memperoleh sekian-sekian banyak kerusi.

“Kehadiran lebih 2.57 juta pengundi baharu khususnya pengundi muda 18 tahun ke atas ibarat ‘game changer’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hassan berkata, segala ‘score-sheet‘ Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 (PRU12), PRU13 dan PRU14 sudah tidak relevan lagi.

“Sebagai panduan umum boleh tetapi tidak lagi terpakai apabila beribu-ribu pengundi muda membanjiri setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Johor,” katanya.

Pada masa sama, beliau melihat parti-parti pembangkang lain masih mempunyai masa untuk berunding, sekali gus membentuk persefahaman politik bagi mengelak pertembungan tiga atau lebih penjuru dalam PRN Johor.

“Rundingan untuk kerjasama masih belum terlambat kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya akan bermesyuarat pada 9 Februari nanti.

“Hari penamaan calon lambat lagi. Masih ada masa untuk berbincang untuk elak pertembungan tiga, empat, lima atau enam penjuru. Bertembung sesama pembangkang akan menguntungkan UMNO dan BN sahaja.

“Jadi parti-parti politik pembangkang di luar PH seperti Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang); Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda); Parti Warisan Sabah (Warisan); Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) perlu adakan rundingan,” katanya.

Selain itu, Hassan turut mempersoalkan kewujudan penubuhan parti terbaru ditubuhkan iaitu Parti Bangsa Malaysia (PBM).

“Apa status anda sebenarnya. Menyokong kerajaan atau ‘mesra kerajaan’ atau bebas atau pembangkang,” soalnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button