Berita Utama

3 ditahan pandu kenderaan bawah pengaruh alkohol, dadah

90 saman dikeluarkan kerana tiada lesen memandu pada Op Ambang TBC

SEREMBAN, 29 Jamadilakhir 1443H, Selasa – Tiga lelaki warga tempatan ditahan selepas disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol dan berkaitan dadah di lokasi berasingan sekitar Negeri Sembilan menerusi Op Ambang Tahun Baharu Cina (TBC) 2022, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan, Supritenden Shafiei Muhammad berkata, seorang lelaki berusia 24 tahun ditahan di Jalan Lingkaran Tengah, di sini kerana memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had iaitu 50 miligram bagi setiap 100 mililiter darah.

“Seorang individu berumur 30 tahun pula ditahan di lokasi sama kerana mempunyai rekod individu dikehendaki pada 2016 berkaitan kes dadah manakala seorang lagi dalam lingkungan 30-an ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan di Jempol kerana positif dadah jenis Metampethamine,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Shafiei berkata, kesemua individu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban dan Balai Polis Jalan Campbell untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Dalam pada itu, beliau berkata, operasi bermula 8 malam itu melibatkan pemeriksaan terhadap 497 individu dan 449 kenderaan pelbagai jenis dengan kebanyakan saman yang dikeluarkan melibatkan kesalahan tiada lesen memandu dan nombor pendaftaran.

“Tiada lesen memandu merekodkan 90 kesalahan, nombor pendaftaran (68), tiada lesen kenderaan motor (48). Selain itu, sebanyak 22 notis dikeluarkan terhadap kesalahan teknikal iaitu ubah suai ekzos dan 15 notis bagi cermin sisi,” katanya.-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button