Berita Utama

Beri Makkal Sakti kerusi Melayu, BN cari ‘penyakit’

Letakkan calon mereka di kerusi sukar untuk buktikan kemampuan

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 29 Jamadilakhir 1443H, Selasa – Barisan Nasional (BN) diingatkan untuk tidak mencari ‘penyakit’ dengan menyerahkan kerusi majoriti Melayu kepada Parti Makkal Sakti Malaysia (Makkal Sakti).

Sebaliknya BN dicabar untuk meletakkan calon Makkal Sakti di kerusi bukan majoriti Melayu bagi membuktikan kemampuan mereka dalam meraih sokongan rakyat.

Presiden BERJASA, Ustaz Haji Zamani Ibrahim berpandangan, PRN Johor menjadi medan BN mempamerkan kematangan dengan tidak menuruti tuntutan rakan sekomponen sewenang-wenangnya.

“Tidak salah untuk BN memberi kerusi di PRN Johor kepada parti itu tetapi jangan sesekali letak parti itu di kawasan majoritinya Melayu. Itu cari ‘penyakit’ namanya.

“Sebaiknya letakkan mereka di kawasan lain supaya mereka boleh buktikan kebolehan mereka. Lagipun mereka memiliki 25,000 pengikut jadi di sini kita boleh nilai kemampuan mereka.

“Jangan cari kesenangan di atas keperitan dan perjuangan BN selama ini, sebaliknya biarkan parti itu bertanding di kawasan bukan majoriti Melayu dan beri peluang mereka untuk bertanding dengan parti-parti (lain),” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Ustaz Zamani menegaskan, sekiranya BN tergamak meletakkanya Makkal Sakti di kawasan majoriti Melayu, ia jelas membuktikan parti itu bukan anak jantan sebenar.

“Di sini kita oleh menilai siapa BN yang sebenar kerana mereka bukan mengutamakan agenda bangsa dan negara.

“Sebaliknya hanya mencari kepentingan sendiri yang lebih utama agenda peribadi,” katanya sambil menyifatkan Makkal Sakti sebagai dedalu yang hanya mahu berpaut di dahan kukuh semata-mata demi kepentingan sendiri.

Tegas beliau, pemimpin BN perlu diberikan kesedaran dalam membuat penilaian dan tidak dipergunakan demi agenda tertentu.

“BN perlu membuat penilaian supaya tidak dijadikan batu loncatan kepada pihak tersebut semata-mata mencari kesenangan dengan cara yang mudah dan cepat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button