Berita Utama

Cukuplah amal budaya tak matang, sindir-menyindir demi ummah

Muafakat Nasional masih boleh dipulihkan walau UMNO-PAS bawa haluan beza

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 29 Jamadilakhir 1443H, Selasa – Biarpun UMNO dan PAS kini membawa haluan berbeza dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, tidak bermakna Muafakat Nasional (MN) sudah berada di jalan penamat serta tidak dapat dipulihkan dan diselamatkan lagi.

Sebaliknya, kerjasama dua parti itu masih boleh berlangsung namun perlu mengikut kerangka berbeza bersesuaian dengan keadaan semasa, kata Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Pengajian Kerajaan dan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff.

Beliau berkata, perkembangan dalam PRN Melaka serta beberapa peristiwa lain sebelum ini telah menjarakkan hubungan UMNO dan PAS, terutama setelah parti Islam itu mengambil langkah bersama-sama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) melalui Perikatan Nasional (PN).

“Semua tahu Bersatu adalah musuh ketat UMNO, jadi bila PAS bergabung bersama-sama Bersatu serta menjadikan kemasukan Bersatu sebagai syarat untuk penerusan kerjasamanya dengan UMNO, maka UMNO pasti menolaknya.

“Disebabkan hal ini, demi kepentingan ummah dan negara, kemungkinan boleh dibuat kerangka kerjasama baharu dalam setiap parti dengan memberi autonomi kepada pimpinan di peringkat negeri-negeri memutuskan keperluan kerjasama tersebut,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keadaan politik semasa yang menyaksikan perpecahan semakin ketara antara PAS dan UMNO sehingga masing-masing membawa haluan sendiri.

Hubungan yang konon dikatakan seperti ‘adik-beradik’ sebelum ini dilihat renggang sejak PAS memilih untuk bersama dengan Bersatu di dalam PN, sekali gus menyebabkan kewujudan Muafakat Nasional semakin samar.

Tegas Dr Kamarul Zaman, ketiadaan kerjasama di peringkat negeri tertentu seperti di Melaka dan Johor, tidak seharusnya menjadi penghalang untuk UMNO serta PAS meneruskan kerjasama mereka di negeri-negeri yang memerlukan mereka bekerjasama.

“Tidak menjadi masalah untuk UMNO bergerak sendiri di negeri-negeri yang mereka punyai kekuatan yang cukup jika ini yang dimahukan pimpinan di peringkat negeri, begitu juga dengan PAS yang boleh bergerak sendiri di negeri-negeri kubu kuat mereka seperti di Kelantan dan Terengganu,” katanya lagi.

Beliau dalam masa sama berpandangan, tidak mustahil di negeri-negeri yang mana kedua-dua parti akan gagal membentuk kerajaan sekiranya tiada kerjasama dibentuk, seperti di Selangor dan Pulau Pinang.

Malah, keadaan sama juga perlu diteruskan di peringkat Persekutuan dan menjadi keperluan untuk mereka terus bekerjasama.

Justeru, semua pihak perlu berlapang dada untuk bersaing secara sihat serta menghentikan kata-mengata dan sindir-menyindir antara satu sama lain demi memastikan kerjasama di negeri-negeri lain tidak terjejas.

“Cukup-cukuplah amalkan budaya tidak matang sebaliknya berdamai dan hormati sesama sendiri demi mantapkan ummah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button