Berita Utama

Rundingan damai Selatan Thailand akan diadakan di Kuala Lumpur bulan depan

Rundingan secara bersemuka tergendala akibat pandemik COVID-19

PATTANI, 5 Jamadilawal 1443H, Jumaat – Rundingan damai selatan Thailand yang tergendala akibat pandemik COVID-19 akan diadakan secara bersemuka di Kuala Lumpur pada bulan depan.

Rundingan antara wakil kerajaan Thailand – ketua perunding, Jeneral Wanlop Rugsanaoh dan kumpulan bersenjata paling berpengaruh di selatan Thailand, Barisan Revolusi Nasional (BRN) hanya diadakan secara maya sepanjang tempoh pandemik.

“Rundingan secara bersemuka tergendala apabila sempadan Thailand dan Malaysia di tutup akibat pandemik COVID-19.

“Dengan situasi COVID-19 semakin pulih, saya dan delegasi akan menghadiri mesyuarat di Kuala Lumpur,” katanya.

Wanlop berkata beliau sendiri turun padang mendengar cadangan dan maklum balas akar umbi termasuk daripada pihak berkepentingan, badan bukan kerajaan, dan civil society organisations (CSO).

“Cadangan ini akan dibawa ke meja rundingan akan datang,” katanya.

Wanlop berkata Thailand komited mencari penyelesaian secara damai dan berkekalan untuk menamatkan konflik selama beberapa dekad di wilayah bergolak di selatan.

Sebelum ini, rundingan damai antara BRN dan Thailand telah diadakan di Kuala Lumpur pada Januari dan awal Mac 2020 yang membawa harapan baharu untuk menamatkan keganasan di selatan Thailand.

Delegasi BRN diketuai Anas Abdulrahman.

Bekas Ketua Polis Negara Malaysia Tan Sri Rahim Mohd Noor bertindak sebagai fasilitator.

Kitaran keganasan tanpa henti di selatan Thailand bermula pada 2004 di empat wilayah iaitu Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkla, yang sehingga kini mengorbankan 7,000 nyawa. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button