Berita Utama

Lelaki maut ditembak lebih 10 das di parkir kondominium mewah

Polis jumpa 12 kelongsong peluru di lokasi kejadian

BUKIT MERTAJAM, 29 Jamadilakhir 1443H, Selasa – Seorang lelaki maut selepas ditembak lebih 10 das tembakan dalam kejadian di kawasan tempat letak kenderaan di sebuah kondominium mewah di Jalan Baru, di sini malam tadi.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tembakan membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun itu pada pukul 9.30 malam sebelum sepasukan polis terus ke lokasi tersebut.

“Mayat lelaki dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah itu ditemukan di tingkat tiga kawasan parkir tersebut dan polis tidak menolak kemungkinan suspek yang menembak mangsa lebih daripada seorang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya setakat ini polis menjumpai sebanyak 12 kelongsong peluru di lokasi kejadian namun jumlah das tembakan yang terkena tubuh mangsa masih disiasat.

Beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan dan polis tidak menolak kemungkinan kejadian tembakan itu bermotifkan dendam berikutan mangsa mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau.

Mohd Shuhaily berkata siasatan mendapati lelaki itu tinggal di kondominium mewah tersebut sejak lima bulan lepas dan pihaknya akan mendapatkan rakaman kamera liter tertutup (CCTV) di sekitar lokasi bagi membantu siasatan kes tersebut.

Katanya mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat.

“Usaha mengesan suspek yang terlibat dalam kejadian itu giat dijalankan dan kes itu disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh,” katanya menambah berdasarkan siasatan, mangsa turut dikehendaki polis. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button