Berita Utama

Lesen terbang mungkin ‘penipuan dalam talian’: JPJ

JPJ sedang giat siasat serta pantau dengan teliti

KOTA BHARU, 29 Jamadilakhir 1443H, Selasa – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak menolak kemungkinan kegiatan menjual ‘lesen terbang’ secara dalam talian mempunyai kaitan dengan sindiket penipuan dalam talian atau ‘scammer’.

Ketua Pengarahnya Datuk Zailani Hashim berkata ia selepas pihaknya melakukan penyamaran serta melakukan pembayaran kepada sindiket berkenaan, namun akhirnya wang itu didapati lesap begitu sahaja.

Beliau berkata JPJ sedang giat menyiasat serta memantau dengan teliti bagi mengesan dan mengambil tindakan selanjutnya terhadap sindiket berkenaan.

“Isu lesen terbang ini bukan baharu, apabila ada kes kita akan selesaikan termasuk dengan mengambil inisiatif melakukan penyamaran dan sebagainya. Kita bayar dekat sindiket berkenaan (untuk mengesannya), namun wang itu lesap.

“Kita juga ada melakukan semakan dengan Cyber Security Malaysia (CSM) untuk melihat ‘domain’ bagi mengesan URL terlibat, itu penyelesaian yang kita akan lakukan apabila ia melibatkan penipuan dalam talian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Ops Penguatkuasaan sempena musim perayaan Tahun Baru Cina 2022 JPJ Kelantan di Terminal Bas Lembah Sireh, di sini malam tadi, yang turut dihadiri oleh Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat.

Zailani berkata JPJ turut berkerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melakukan pemantauan ke atas tawaran bagi memiliki lesen terbang itu.

“Jabatan kami ingin menegaskan, tidak ada satu situasi pun mana-mana orang di negara kita boleh mendapatkan lesen melalui bayaran kepada pihak-pihak berkenaan. Setakat tahun ini juga, tiada kes membabitkan ‘scammer’ sindiket berkenaan dikesan,” katanya.

Beliau berkata JPJ juga tidak akan berkompromi mahupun melindungi anggotanya yang melakukan sebarang bentuk salah laku, salah guna kuasa dan tidak berintegriti.

“Saya mengalu-alukan siasatan SPRM ke atas anggota saya jika berlaku sebarang bentuk salah laku, salah guna kuasa dan tidak berintegiriti, saya tidak akan melindungi mahupun berkompromi ke atas anggota saya,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, seorang pempengaruh media sosial menerusi satu rakaman video yang dimuat naik di media sosial mendakwa wujud tawaran menerusi media sosial mendapatkan ‘lesen terbang’ atau lesen memandu tanpa perlu mengikut prosedur sah.

Menerusi video berdurasi dua minit enam saat itu, individu berkenaan mendakwa kegiatan itu didalangi sindiket dianggotai pelbagai pihak termasuk pegawai JPJ sendiri. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button