Berita Utama

Ops TBC: 24,708 kenderaan disaman dalam tempoh 6 hari

Lebih 2,200 anggota terlibat aktiviti penguatkuasaan

KOTA BHARU, 29 Jamadilakhir 1443H, Selasa – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan saman terhadap 24,708 kenderaan yang melakukan pelbagai kesalahan sepanjang penguatkuasaan Ops Tahun Baru Cina (Ops TBC) 2022 dalam tempoh enam hari, sejak 25 Jan lepas.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim berkata saman dikeluarkan menerusi pemeriksaan ke atas 67,265 kenderaan dengan kekuatan anggota lebih 2,200 pegawai dan anggota yang melakukan aktiviti penguatkuasaan di seluruh negara.

Katanya, menerusi Ops TBC itu, pihaknya turut mendapat kerjasama dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen (JIM), pihak konsesi lebuh raya (Plus Sdn Bhd) dan sebagainya.

“Metodologi penguatkuasaan dibuat menerusi rondaan, pemeriksaan bas di terminal dan depoh, penyamaran sebagai penumpang bas, rakaman video kesalahan melalui Dash Cam Enforcement Action Camera (EAC), mesin penimbang mudah alih, Smart Enforcement Device (SmED) dan aset lain berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas operasi penguatkuasaan sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina 2022 JPJ Kelantan di Terminal Bas Lembah Sireh, di sini malam tadi.

“Antara kesalahan yang dilakukan pemandu ialah tiada lesen memandu dan lesen memandu tamat tempoh, tidak memakai tali pinggang keledar, gagal mematuhi lampu isyarat, lebih muatan, menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan sebagainya,” katanya.

Mengulas lanjut, Zailani berkata pihaknya turut memberi fokus kepada pemeriksaan bas di depoh dan terminal awam dengan sasaran untuk pengurangan kenderaan yang tidak mencapai tahap ‘layak dipandu di jalan’ dan pemandu pertama serta kedua bebas pengaruh dadah untuk pemanduan selamat.

Katanya, setakat dalam Ops TBC 2022 juga, empat pemandu bas dikesan gagal pemeriksaan saringan ujian air kencing kerana disyaki terlibat dengan pengaruh dadah.

“Saya tegaskan mereka (pemandu bas) harus bebas daripada sebarang bentuk pengaruh dadah. Malah, atas dasar itu juga, pihak AADK akan melakukan saringan terhadap pemandu sebelum dapat memulakan pemanduan untuk mengelak kejadian yang tidak diingini,” katanya.

Beliau berkata, semua pengguna jalan raya dinasihatkan agar sentiasa mematuhi segala peraturan dan undang-undang jalan raya dan mengambil langkah kawalan kendiri bagi mengurangkan risiko kemalangan.

“Jika mengikut trend, ketika musim perayaan sebelum ini hampir setiap hari tidak kurang 200 kes kemalangan berlaku sama ada membabitkan kenderaan awam, persendirian mahupun motosikal walaupun ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya menambah di Kelantan terdapat 10 lokasi panas kerap berlaku kemalangan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button