Berita Utama

Jangan beri muka pihak luar persoal kedaulatan Sabah

Hishammuddin kecewa Shafie cadang kerajaan runding dengan Filipina

BANGI, 27 Muharram 1442H, Selasa – Kerajaan Malaysia tetap kukuh tidak akan berunding atau melayan tuntutan mana-mana pihak ke atas Sabah, tegas Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal perlu lebih tegas dan bukannya memberi muka kepada pihak luar yang cuba mempersoalkan kedaulatan Sabah.

“Sebelum ini saya telah tegaskan banyak kali, tuntutan Filipina ke atas Sabah tidak akan dilayan dan Sabah milik Malaysia buat selama-lamanya. Sebab itu, saya kecewa apabila Presiden Warisan, Shafie Apdal baru-baru ini mencadangkan agar kerajaan Malaysia berunding dengan kerajaan Filipina.

“Perlu difahami, tuntutan Filipina bukan sahaja tidak berasas, malah langsung tidak relevan. Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan itu. Jadi, tiada sebab mengapa kita perlu berunding dengan mereka. Sekiranya kita buka ruang rundingan, itu bermakna Malaysia akui tuntutan tersebut mempunyai asas.

“Atau sebenarnya memang Shafie anggap tuntutan Filipina berasas?,” soalnya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Shafie yang mahu tuntutan Filipina ke atas Sabah harus dipadam menerusi rundingan kerajaan dengan kerajaan di antara Malaysia dan Filipina.

Sebelum ini, Shafie Apdal berkata, selagi tiada kata putus membabitkan kedua-dua negara, selagi itu Filipina menimbulkan provokasi.

Beliau menegaskan Filipina perlu diberi kefahaman jelas bahawa tidak timbul lagi isu tuntutan ke atas Sabah kerana kedudukan Sabah dalam Malaysia diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Terdahulu, Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negara Filipina dilapor membenarkan cetakan peta Filipina meliputi kawasan 320 kilometer Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) dan Sabah di dalam pasport negara itu.

Tindakan itu dianggap satu bentuk provokasi Manila berhubung tuntutannya terhadap Sabah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button