Berita Utama

Tiada keperluan Kedah adakan PRN seperti Melaka, Johor

Pilihan raya bukan boleh sengaja diadakan kecuali jika ada keperluan: Tok Mat

BANGI, 29 Jamadilakhir 1443H, Selasa – Tiada keperluan untuk Kedah mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) ketika ini, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Ini kerana katanya, pilihan raya bukan suatu yang boleh sengaja diadakan kecuali jika ada keperluan seperti mana di Melaka dan Johor.

Mohamad berkata, setakat ini tiada sebarang ‘berita’ berhubung situasi di Kedah, maka tiada keperluan untuk PRN diadakan di negeri berkenaan.

“Saya tidak tahu situasi di Kedah, saya cuma di ibu pejabat. Jika apa-apa berlaku di Kedah, jangan salahkan saya.

“Bagaimanapun, buat masa ini, saya tidak dengar apa-apa cerita dan bagi saya, tidak ada keperluan.

“Pilihan raya ini, kita tidak boleh main-main. Ini bukan perkara kita boleh saja-saja buat, melainkan jika ada keperluan yang memerlukan diadakan pilihan raya,” katanya seperti dipetik portal tempatan, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas khabar angin sebelum ini mendakwa terdapat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang akan menarik sokongan daripada kerajaan negeri yang ditadbir Perikatan Nasional (PN).

Sebelum ini, tular apabila dua ADUN UMNO dan dua ADUN Bebas di Kedah akan menarik sokongan daripada kerajaan negeri yang boleh membawa kepada pilihan raya di negeri itu.

Bagaimanapun Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sudah menafikan dan berkata pimpinan negeri tidak goyah dan masih berjalan seperti biasa.

Malah, beliau menyifatkan perkara berkenaan sekadar khabar angin dan menegaskan situasi di Kedah aman.

Pada masa sama, ADUN Bandar Baharu daripada UMNO, Datuk Norsabrina Mohd Noor turut menafikan dakwaan beliau dan seorang lagi ADUN parti itu akan menarik sokongan daripada kerajaan negeri.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button