Dunia

Yaman kutuk serangan balistik Houthi ke atas UAE

Desak Majlis Keselamatan segera ambil pendirian tegas

AL MUKALLA, 29 Jamadilakhir 1443H, Selasa – Kerajaan Yaman, hari ini mengutuk serangan peluru berpandu Houthi ke atas Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan menyokong tindakan negara tersebut menentang kehadiran kumpulan militan.

Menteri Luar Yaman berkata, kumpulan militan Houthi sering dijadikan sebagai alat untuk menjejaskan keselamatan serantau dan menggesa tindakan segera komuniti antarabangsa.

“Tingkah laku ganas Houthi telah menyebabkan huru-hara dan ketidakstabilan di rantau ini.

“Ia memerlukan masyarakat antarabangsa terutamanya Majlis Keselamatan mengambil pendirian tegas dan mengklasifikasikan militan sebagai organisasi pengganas,” katanya.

Militan Houthi, semalam mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan peluru berpandu balistik yang berjaya dipintas oleh Abu Dhabi.

Kumpulan militan berkenaan turut berjanji akan melaksanakan lebih banyak serang peluru berpandu dan dron sekiranya UAE tidak meninggalkan Yaman.

UAE turut bertindak balas terhadap serangan yang dilakukan militan Houthi dengan memusnahkan pelancar peluru berpandu balistik kumpulan berkenaan di wilayah utara Jouf.

Letupan besar berlaku di Sanaa pada Isnin pagi selepas pesawat tentera negara gabungan menyerang penempatan ketenteraan termasuk pangkalan penyelenggaraan dan pangkalan pasukan simpanan milik Houthi.

Negara gabungan mendakwa, militan Houthi menyimpan peluru berpandu balistik dan dron di kemudahan tentera serta awam di Sanaa, termasuk juga di lapangan terbang. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button