Berita Utama

Sudah ceroboh tanah, mahu solusi ‘menang-menang’ pula

Tergamak DAP desak campur tangan Agong, PM dalam isu kebun durian haram

BANGI, 16 Muharram 1442H, Jumaat – Permintaan pekebun durian di Raub supaya isu ‘menceroboh tanah kerajaan negeri Pahang’ diselesaikan secara ‘menang-menang’ amat tidak masuk akal, kata Ketua Penerangan Angkatan Pemuda-Pemudi Berjasa (ANGKASA), Asyraf Badhrul. 

Terdahulu, Pengusaha kebun durian Musang King yang mengusahakan tanaman di atas tanah kerajaan secara haram mengakui mengadakan rundingan pertama dengan kerajaan Pahang, kononnya untuk mempertahankan kebun mereka yang diusahakan lebih 40 tahun lalu.

Pengerusi Save Musang King Alliance (Samka) Chang Yee Chin berkata, rundingan adalah untuk memastikan kedua pihak mendapat keputusan secara ‘menang-menang’ dalam isu penerokaan tanah di beberapa kawasan di Raub.

Dakwanya, lebih 1,000 pekebun masih berminat menguruskan kebun durian yang mereka tanam dan diharapkan jalan penyelesaian terbaik dapat diputuskan bagi kepentingan kedua belah pihak.

Mengulas perkara itu, Asyraf mempersoal status dan kedudukan mereka sehinga menuntut sedemikian rupa. 

“Siapakah mereka sehinggakan berhak untuk mendapat ‘layanan khas’ sedemikian? Mereka menuntut agar solusi yang ‘win-win’ dicapai oleh kesemua pihak. 

“Sepatutnya, jika berlaku pencerobohan dan aktiviti haram, undang-undang ditegakkan, bukan berlembut dan mengalah sewenang-wenangnya,” katanya. 

Pada masa sama, ANGKASA mendesak supaya kedaulatan undang-undang ditegakkan sepenuhnya tanpa unsur berat sebelah (bias) dan campur tangan pihak berkepentingan.

Ini kerana beliau pelik apabila isu ini turut membabitkan pemimpin politik yang beria-ia mempertahankan pekebun durian berkenaan. 

Katanya, veteran DAP, Lim Kit Siang tanpa segan silu meminta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk turun padang melihat sendiri situasi dan juga menegaskan bahawa setakat ini tiada mana-mana menteri Kabinet yang menyelesaikan masalah tersebut.

Dalam satu lawatan sebelum ini, Kit Siang menyatakan harapan agar Muhyiddin dapat melawat para pekebun durian tersebut dalam tempoh di antara Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, kerana menurut Kit Siang, kerajaan yang baik adalah yang sentiasa prihatin terhadap kebajikan rakyat.

Kit Siang juga berkata, beliau terkejut apabila mengetahui walaupun enam menteri dan timbalan menteri datang daripada Pahang namun tidak ada seorang pun daripada mereka yang telah melawat para pekebun durian tersebut.

“Pelik. Bagaimana tergamak mereka mendesak agar situasi ini dicampur tangan oleh PM dan juga Yang Di-Pertuan Agong?,” soal Asyraf.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button