Berita Utama

517,107 kanak-kanak telah daftar untuk vaksin COVID-19

Angka itu merangkumi kira-kira 15 peratus jumlah sebenar

KUALA LUMPUR, 30 Jamadilakhir 1443H, Rabu – Seramai 517,107 kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun di negara ini telah didaftarkan oleh ibu bapa mereka untuk menerima vaksin Pfizer COVID-19 setakat semalam, (Selasa, 1 Februari), kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Khairy menerusi akaun Twitternya berkata angka itu merangkumi kira-kira 15 peratus daripada jumlah keseluruhan kohort 3.6 juta kanak-kanak.

“Permulaan yang baik dan @KKMPutrajaya (Kementerian Kesihatan) akan terus menyampaikan maklumat mengenai faedah mendapatkan suntikan vaksinasi,” katanya di sini hari ini.

Khairy berkata beliau berharap hampir separuh daripada kanak-kanak di Malaysia akan mendapatkan suntikan vaksin menjelang akhir bulan ini.

CITF-C (Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 untuk Kanak-kanak) di bawah pengawasan timbalannya Datuk Dr Noor Azmi Ghazali akan bekerja keras bersama-sama Kementerian Pendidikan, katanya.

Beliau berkata pautan bagi tempahan Program Imunisasi COVID-19 untuk Kanak-kanak (PICKids) telah dimuat naik berdasarkan tarikh pendaftaran, dan ibu bapa yang tidak menerima pautan akan mendapatkannya tidak lama lagi.

Khairy turut memuat naik info grafik mengenai pendaftaran PICKids yang menunjukkan Selangor mempunyai jumlah pendaftaran tertinggi setakat semalam dengan 131,500 kanak-kanak mendaftar, manakala Labuan mencatatkan pendaftaran terendah dengan 900 kanak-kanak.

Beliau dalam twit semula memaklumkan di twit vaksin COVID-19 bahawa pautan bagi tempahan janji temu vaksin untuk kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun kini dikeluarkan secara berperingkat menerusi aplikasi MySejahtera untuk ibu bapa atau penjaga di Lembah Klang yang telah mendaftarkan anak mereka di aplikasi tersebut.

Dilaporkan sebelum ini bahawa pelancaran dos vaksin untuk kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun akan bermula esok (3 Feb) di hospital dan pusat vaksin bersepadu, di Lembah Klang.

Sejumlah 4 juta kanak-kanak berumur bawah 12 tahun di Malaysia layak menerima vaksin itu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button