Berita UtamaDunia

Israel kendali sistem pertahanan berasaskan laser canggih

Sistem baharu bakal diguna tangani serangan roket dari Semenanjung Gaza

TEL AVIV, 30 Jamadilakhir 1443H, Rabu – Tentera negara pengganas Israel akan menggunakan sistem pertahanan udara laser untuk memintas dron, peluru berpandu dan pesawat tanpa pemandu (UAV) dalam tempoh satu tahun, kata Perdana Menteri, Naftali Bennett.

Senjata pertahanan itu dilaporkan lebih canggih dan bakal memberikan lebih penjimatan berbanding sistem pertahanan Iron Dome.

Bennett menjelaskan bahawa rakyat di Gaza dapat melancarkan roket ke Israel dengan kos pembuatan hanya bernilai ratusan dolar, sedangkan Iron Dome memakan kos puluhan ribu dolar untuk memintasnya.

Dia bercakap berdasarkan pengalaman Israel pada bulan Mei tahun lalu, yang menyaksikan Hamas menembak lebih daripada 4,000 roket ke arah Israel.

Dia berkata, sistem baharu itu akan digunakan terlebih dahulu di selatan untuk menangani serangan roket dari Semenanjung Gaza.

Katanya, teknologi itu akan ditawarkan kepada rakan Israel di rantau itu terhadap ancaman daripada Iran dan proksinya.

Menurut saluran berita rasmi KAN Israel, Bennett membuat pengumuman itu dalam ucapan pada persidangan antarabangsa tahunan Institut Kajian Keselamatan Negara (INSS).

Terdahulu, Kementerian Pertahanan Israel berkata, ia membangunkan sistem pemintasan laser terhadap roket selepas beberapa dekad percubaan gagal.

Israel pada masa ini memiliki pelbagai sistem pertahanan udara jarak pendek, sederhana dan jauh, termasuk Iron Dome, yang direka untuk menembak jatuh roket dan dron jarak dekat. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button