Berita Utama

Projek LCS: PN takkan biar kleptokrat kembali perjudi nasib rakyat

Muhyiddin gesa Kabinet wujud suruhanjaya bebas siasat penyelewengan

BANGI, 11 Muharram 1444H, Selasa – Perikatan Nasional (PN) menentang keras amalan rasuah dan penyelewengan, serta tidak akan membiarkan kumpulan kleptokrat kembali memperjudikan nasib rakyat demi kepentingan peribadi.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun pemerintahan kleptokrasi Barisan Nasional (BN) telah berakhir pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, negara sehingga kini masih dihantui peninggalan kebobrokan pemerintahan itu.

Beliau kemudiannya merujuk skandal projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) bagi kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang membabitkan kerugian wang rakyat sebanyak RM9 bilion.

Katanya, isu dakwaan penyelewengan itu turut merencatkan keupayaan TLDM untuk mengawal perairan negara disebabkan kegagalan syarikat yang dianugerah kontrak pembinaan kapal LCS secara rundingan terus untuk menyiapkan projek berkenaan.

“Pendedahan bekas Panglima TLDM, Tan Sri Dr Abdul Aziz Jaafar mengenai bantahan beliau terhadap perolehan projek ini menerusi beberapa pucuk surat yang dihantar kepada Menteri Pertahanan pada ketika itu amat mengejutkan kita.

“Bantahan ini walaubagaimanapun tidak diendahkan oleh Menteri Pertahanan. Untuk rekod Menteri Pertahanan pada ketika itu ialah Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional pada masa ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Muhyiddin berkata, inilah pemimpin BN yang mengetuai parti itu pada PRU15 nanti, justeru apakah rakyat Malaysia akan mempercayai mantra yang akan dibawa BN pada pilihan raya akan datang.

“Saya menggesa Kabinet supaya mewujudkan sebuah Suruhanjaya Bebas Diraja bagi menyiasat dakwaan penyelewengan berhubung projek pembinaan kapal LCS TLDM.

“Perikatan Nasional yang dianggotai oleh Bersatu, PAS, Gerakan, STAR Sabah dan SAPP adalah sebuah gabungan politik nasional yang akan terus memperjuangkan nasib rakyat jelata tanpa mengira perbezaan kaum, agama dan wilayah serta mentadbir negara dengan penuh berintegriti,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button