Berita UtamaDunia

13 terbunuh AS serang Syria

Sasar kawasan penduduk padat di barat laut Syria dekat sempadan Turki

ATMEH, 1 Rejab 1443H, Khamis – Sekurang-kurangnya 13 orang awam – termasuk wanita dan kanak-kanak – dilaporkan terbunuh dalam serbuan oleh pasukan operasi khas Amerika Syarikat (AS) di wilayah Idlib, barat laut Syria.

Serbuan itu menyasarkan sebuah bangunan di Atmeh, sebuah bandar berpenduduk padat di barat laut Syria berhampiran sempadan Turki.

Kawasan itu difahamkan tempat tinggal puluhan ribu orang yang kehilangan tempat tinggal akibat perang selama sedekad.

Pentagon menyifatkan, serbuan melalui udara yang menyasarkan sebuah rumah di kawasan Atmeh, berhampiran sempadan Turki, sebagai ‘berjaya’.

Sumber Syria memberitahu Reuters, serbuan itu dipercayai menyasarkan seorang anggota al-Qaeda.

Anggota penyelamat Syria berkata, sekurang-kurangnya 13 orang, termasuk enam kanak-kanak dan empat wanita terbunuh akibat pertempuran dan letupan yang meletus selepas serbuan bermula.

Kumpulan pemantau peperangan, Syrian Observatory for Human Rights yang berpangkalan di UK berkata, tujuh orang awam antara mangsa yang terbunuh dalam operasi berkenaan – yang menyaksikan pasukan elit AS membuat pendaratan helikopter berhampiran Atmeh.

Setiausaha Akhbar Pentagon, John Kirby dalam satu kenyataan berkata: “Pasukan Operasi Khas AS di bawah kawalan Komando Pusat AS menjalankan misi memerangi keganasan petang ini di barat laut Syria. Misi itu berjaya.

“Tiada kematian di pihak AS. Maklumat lanjut akan diberi apabila ia tersedia,” katanya yang tidak mengenal pasti sasaran. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button