Berita Utama

Ayuh sokong kempen ‘Malaysia Sejahtera Tanpa Arak’

Umat Islam perlu letakkan niat bina negara patuh syariah

BANGI, 1 Rejab 1443H, Khamis – Meskipun kempen ‘Malaysia Sejahtera Tanpa Arak’ belum gah, namun usaha kecil yang berterusan pasti membuahkan hasil besar dan berkekalan.

Kempen yang dilancarkan gerakan Islam ISMA dan Yayasan Maghfirah bukan sahaja disasarkan kepada muslim sahaja, namun ia menyasarkan kepada setiap lapisan masyarakat.

Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) turut serta menjayakan kempen gergasi kepada rakyat Malaysia berkenaan bahaya arak kepada masyarakat antaranya PEACE, Indahnya Islam, PEMBELA dan ACCIN.

Menyambut baik usaha itu, Pengarah Sekretariat Majlis Ulama ISMA (MUIS), Ustaz Ahmad Syamil Mohd Esa berkata, umat Islam perlu meletakkan niat bina negara patuh syariah.

Menerusi satu kenyataan, beliau berkata, walaupun jalannya mungkin memakan ratusan tahun, umat Islam di Malaysia perlu berazam untuk menjadikan negara ini patuh syariah sepenuhnya.

“ISMA menganjurkan kempen ‘Malaysia Sejahtera Tanpa Arak’ sebagai salah satu langkah membebaskan pemikiran umat Islam daripada kerangka kenegaraan yang sedia ada, kepada kerangka yang sepatutnya, walau ia mungkin tidak popular di kalangan segelintir umat Islam itu sendiri.

“Ya, memang kita boleh membahaskan dengan panjang lebar isu arak ini dari sudut fiqh dan hak-hak orang bukan Islam di dalam negara Islam.

“Tapi ada sudut yang perlu kita sepakati dahulu, apakah rupa bentuk sebuah negara yang kita mahukan?” soalnya.

Beliau bagaimanapun mengakui perubahan pemikiran memerlukan tempoh yang panjang, selain daripada gerak kerja dan perancangan yang tersusun.

“Ia adalah suatu pakej daripada sebuah kehidupan yang dilalui setiap hari.

“Bilakah pula ia akan berlaku, jika ia tidak bermula dari hari ini?,” soalnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button