Berita UtamaDunia

Peluru sesat di tengkorak

Terpaksa lakukan pembedahan keluarkan peluru angin sebesar 0.5 cm

SHENZEN, 1 Rejab 1443H, Khamis – Seorang lelaki China yang sering mengadu sakit kepala terkejut selepas disahkan memiliki peluru di tepi kiri tengkorak sejak dua dekad lalu.

Lelaki yang berusia 28 tahun yang hanya dikenali Xiao Chen sering mengadu sakit kepala sejak kebelakangan ini dan menganggap masalah itu seolah-olah perkara biasa.

Namun kesakitan yang berlarutan menyebabkan dia mendapatkan rawatan di hospital untuk mendapat punca sebenar penyakit.

Namun mengejutkan apabila hasil ujian Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) di Hospital Shenzen mendapati objek aneh ‘bersarang’ di bahagian kiri tengkoraknya.

Malah hasil pemeriksaan mendapati objek berkenaan dikenal pasti sebagai peluru logam.

Lalu lelaki berkenaan mendedahkan ketika di alam kanak-kanak dia dan abangnya pernah bermain pistol angin di rumah mereka.

Malah pernah satu ketika, abangnya pernah menembak ke bahagian kepala menyebabkan peluru logam kecil daripada pistol mainan menembus ke kepala.

Gara-gara takut dimarahi orang tua, mereka tidak memaklumkan perkara tersebut sebaliknya hanya menutupi luka di kepala tersebut dengan rambut.

Malah lelaki tersebut mendakwa dia tidak merasai kesakitan kesan daripada tembakan peluru angin sehingga melupakan kejadian tersebut.

Namun kesannya dirasai 20 tahun kemudian selepas pasukan doktor terpaksa membuat pembedahan kecemasan untuk mengeluarkan peluru angin bersaiz 0.5 sentimeter.

Lelaki tersebut bagaimanapun bernasib baik kerana peluru hanya melekat di bahagian tepi tengkorak dan tidak mengganggu fungsi otak.

Dia kini dibenarkan pulang namun memerlukan rawatan susulan. -Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button