Qatar tolak normalisasi hubungan dengan Israel, Syria
Serangan berterusan ke atas rakyat, Bashar tak patut diberi ganjaran

DOHA, 1 Rejab 1443H, Khamis – Menteri Luar, Muhammad Bin Abdulrahman Al Thani menolak prospek Qatar menormalkan hubungan dengan negara penjajah Israel atau Syria.
Dalam temu bual bersama laman berita Axios, pegawai tertinggi Qatar menjelaskan, negara tersebut sebelum ini telah mengekalkan hubungan dengan Israel ‘apabila terdapat prospek perdamaian’ dengan Palestin.
Bagaimanapun katanya, Doha ‘putus harapan’ selepas perang 2008-2009 ke atas Gaza.
Beliau berkata, Qatar meneruskan ‘hubungan kerja’ untuk membantu rakyat Palestin, namun sukar untuk membayangkan menyertai Perjanjian Abraham ‘dengan ketiadaan komitmen sebenar kepada penyelesaian dua negara’.
Beberapa tahun belakangan ini, Qatar terbabit dengan negara pengganas Israel untuk menyampaikan bantuan ke Gaza.
Kerajaan Israel sebelum ini meluluskan pindahan dana Qatar membabitkan ratusan juta dolar kepada rakyat Palestin yang sangat memerlukan sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengekalkan keamanan.
Berkenaan Syria, menteri itu berkata, keadaan yang menyebabkan penggantungan keahlian rejim Syria dalam Liga Arab tidak berubah.
Katanya, Presiden Syria, Bashar Al-Assad tidak sepatutnya diberi ganjaran atas serangan berterusan terhadap rakyatnya. – Agensi