Berita Utama

Syor PdPR semula kerana kes makin naik

Akui terdapat kelemahan, tapi masih boleh ditambah baik

BANGI, 1 Rejab 1443H, Khamis – Peningkatan jumlah jangkitan COVID-19 dan kemunculan kluster pendidikan ketika ini berada pada tahap membimbangkan.

Berdasarkan perkembangan terkini, adalah wajar pihak kerajaan memberi pertimbangan untuk melaksanakan semula Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sehingga keadaan benar-benar sesuai dan selamat.

Walaupun terdapat beberapa kelemahan dan rungutan berhubung PdPR, keadaan itu masih boleh ditambah baik, kata Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang–Undang (FSU) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Muzaffar Syah Mallow.

“Kita tidak boleh terus membiarkan pelajar menghadapi risiko jangkitan sama ada dengan berada di kawasan sekolah, asrama, kampus atau ketika bergerak ke tempat mereka belajar. Apa yang penting kini adalah keselamatan dan kesihatan pelajar.

“Paling penting, mereka perlu berasa selamat dan selesa ketika berada di sekolah dan universiti bagi memudahkan untuk fokus sepenuhnya pada pembelajaran,” katanya menulis di Berita Harian hari ini.

Dari sudut positif, Muzaffar berkata, PdPR memberi banyak faedah dan manfaat kepada semua pihak terutama dalam aspek penjimatan kos, masa dan tenaga.

“Walaupun ada beberapa kelemahan dari sudut proses pengajaran dan pembelajaran misalnya kekurangan capaian internet serta ketiadaan kemudahan atau aplikasi bersesuaian, namun ia tidak seharusnya dijadikan sebagai batu penghalang.

“Kementerian berkaitan perlu bertindak menyiasat rungutan yang diterima mereka sama ada daripada guru, pensyarah dan pelajar. Semua itu diambil perhatian dan diberi penambaikan bagi membolehkan kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam talian dilaksanakan dengan jayanya dalam negara kita,” katanya.

Baginya, tidak menjadi satu masalah yang besar untuk melaksanakan semula PdPR memandangkan ia sudah pun dilaksanakan beberapa kali sebelum ini.

Selain itu, beliau meminta Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mewujudkan pelan B sekiranya jumlah jangkitan di sekolah dan universiti semakin meningkat.

Katanya, pelan B ini perlu dihebahkan kepada semua pelajar dan ibu bapa dengan segera supaya mereka dapat mengambil segala langkah awal untuk melakukan proses persediaan.

“Perlu diketahui, setiap kali sesi pembukaan sekolah ia mengundang implikasi besar kepada pelajar dan ibu bapa terutama dari aspek kewangan seperti membeli peralatan serta pakaian sekolah. Begitu juga ketika pembukaan universiti. Beban kewangan ini akan menekan pelajar daripada keluarga kurang mampu.

Sekiranya sekolah dan universiti terpaksa ditutup selepas semua persiapan dibuat atau selepas pelajar tiba di kampus, ia akan menimbulkan rasa kecewa dan keadaan kelam kabut terutama membabitkan pelajar yang datang dari jauh,” katanya.

Rujukan asal; https://www.bharian.com.my/rencana/minda-pembaca/2022/02/918351/syor-laksana-semula-pdpr-elak-peningkatan-kluster-pendidikan

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button