Dunia

Arab Saudi wajibkan dos penggalak jika ingin ke luar negara

Kuat kuasa sekatan perjalanan baharu mulai 9 Februari ini

RIYADH, 2 Rejab 1443H, Jumaat – Arab Saudi mengumumkan sekatan perjalanan baharu yang akan berkuat kuasa pada 9 Februari ini, sebagai sebahagian langkah kerajaan untuk mengekang penularan COVID-19 dan memelihara kesihatan awam.

Sumber rasmi Kementerian Dalam Negeri memaklumkan bahawa semua rakyat Arab Saudi mesti mengambil vaksin dos penggalak untuk melakukan perjalanan ke luar negara mulai Rabu depan.

Kementerian itu berkata, semua ketibaan di negara itu termasuk warganegara perlu melepasi keputusan ujian saringan PCR negatif dalam tempoh 48 jam sebelum berlepas, tanpa mengambil kira status vaksinasi mereka.

Katanya, sekatan baharu itu diperkenalkan selaras dengan situasi epidemiologi tempatan dan global ketika ini.

Kementerian memaklumkan bahawa rakyat yang ingin melancong ke luar negara mesti mengambil dos penggalak setelah tiga bulan lengkap dua dos vaksinasi.

Bagaimanapun, kanak-kanak di bawah umur 16 tahun atau kumpulan yang dikecualikan dalam aplikasi Tawakkalna tidak tersenarai dalam keperluan sekatan baharu itu.

“Semua pelancong yang tiba di negara ini, tanpa mengira status imunisasi mereka, dikehendaki mengemukakan ujian PCR negatif atau ujian antigen negatif yang dikeluarkan dalam tempoh 48 jam dari tarikh berlepas mereka atau kemasukan ke negara ini.

“Kanak-kanak di bawah umur lapan tahun dikecualikan memandangkan peraturan di negara asal mereka berkaitan dengan kawalan jangkitan COVID-19,” kata kementerian itu, semalam.

Menurut kementerian, pengembara Arab Saudi yang tidak mengambil semua dos vaksin yang diluluskan akan dibenarkan masuk hanya selepas 10 hari diuji positif COVID-19.

Sumber kementerian itu turut menekankan keperluan semua pihak mematuhi langkah berjaga-jaga dan protokol kesihatan yang diluluskan, selain melengkapkan dos vaksinasi masing-masing. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button