Berita UtamaDunia

Bahrain tandatangani perjanjian keselamatan dengan negara haram Israel

MoU sokong kerjasama dalam perisikan, ketenteraan pada masa depan

MANAMA, 2 Rejab 1443H, Jumaat – Negara haram Israel dan Bahrain menandatangani perjanjian kerjasama keselamatan – yang pertama antara Israel dan negara Teluk – dalam lawatan Menteri Pertahanan Israel di tengah-tengah ketegangan yang memuncak di rantau itu, lapor Reuters.

Bahrain bersama-sama Emiriah Arab Bersatu (UAE) menormalkan hubungan dengan Israel pada 2020, di bawah Perjanjian Abraham yang diuruskan oleh Amerika Syarikat (AS), sebahagiannya daripada kebimbangan bersama tentang Iran.

“Rangka kerja MoU (memorandum persefahaman) akan menyokong sebarang kerjasama masa depan dalam bidang perisikan, (tentera kepada tentera), kerjasama industri dan banyak lagi,” kata Kementerian Pertahanan Israel dalam satu kenyataan.

Seorang pegawai Israel berkata, perjanjian dengan Bahrain adalah pertama seumpama itu yang dicapai dengan salah satu sekutu baharunya di Teluk.

“Hanya setahun selepas menandatangani Perjanjian (Abraham), kami telah mencapai perjanjian pertahanan penting yang akan menyumbang kepada keselamatan kedua-dua negara dan kestabilan rantau ini,” kata Kementerian Pertahanan Israel memetik Menteri Pertahanan, Benny Gantz.

Ia memaklumkan, Gantz dan rakan sejawatannya dari Bahrain menandatangani dokumen itu, dan beliau turut mengadakan perbincangan dengan Raja Hamad bin Isa Al-Khalifa di istana diraja.

Pada awal hari itu, Gantz melawat ibu pejabat Armada Kelima Tentera Laut AS di Bahrain.

Bahrain menjadi tuan rumah ibu pejabat Armada Kelima serta beberapa operasi untuk CENTCOM, sebuah organisasi payung penyelarasan tentera AS untuk Timur Tengah yang disertai Israel tahun lalu.

“Berlatarbelakangkan peningkatan ancaman maritim dan udara, kerjasama kami adalah lebih penting berbanding sebelum ini,” kata Gantz di Twitter selepas lawatan pangkalan tentera laut itu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button