Berita Utama

Hakim ingatkan peguam beri keutamaan kes rasuah Rosmah

Saksi pembelaan tak dapat beri keterangan kerana masih kuarantin

KUALA LUMPUR, 2 Rejab 1443H, Jumaat – Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan mengingatkan pihak pembelaan supaya memberi keutamaan kepada perbicaraan kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor berkaitan projek tenaga solar untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak, yang sepatutnya berakhir hari ini.

Mohamed Zaini meminta pihak pembelaan menangguhkan kes lain untuk memberi keutamaan kepada kes tersebut selepas saksi pembelaan kedua iaitu Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod yang juga bekas pegawai khas kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, tidak dapat memberi keterangan hari ini kerana masih menjalani kuarantin.

Siti Azizah adalah saksi terakhir pembelaan yang sepatutnya disoal balas oleh pihak pendakwaan hari ini selepas Najib digugurkan daripada senarai saksi Rosmah.

“Ia telah mengubah segala-galanya. Sepatutnya menjadi hari terakhir perbicaraan. Saya terima penjelasan kamu. Saya tahu anda semua (peguam) sibuk…anda mempunyai perkara yang sibuk tetapi saya menggesa anda untuk menulis kepada mahkamah dan menangguhkan perkara lain.

“Perbicaraan ini (kes solar Rosmah) harus diberi keutamaan. Ia berkaitan hal jenayah dan melibatkan saksi terakhir,” kata Hakim Mohamed Zaini.

Terdahulu, peguam Azrul Zulkifli Stork memaklumkan kepada mahkamah bahawa Siti Azizah tidak dapat hadir untuk memberikan keterangan pada hari ini berikutan masih menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) selepas kembali ke tanah air daripada menunaikan ibadah umrah di Makkah.

Menurut Azrul, mengikut jadual asal, Siti Azizah sepatutnya pulang ke tanah air pada 27 Januari lalu namun penerbangannya ditunda kepada 29 Januari dari Abu Dhabi ke Kuala Lumpur.

“Ini menyebabkan tempoh kuarantin itu akan berakhir esok (5 Feb),” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram memaklumkan pihaknya tidak akan mengambil masa yang lama untuk menyoal balas saksi terakhir itu.

“Jika tiada perkara berbangkit, ia hanya mengambil masa satu setengah jam (bagi pemeriksaan balas),” kata Sri Ram.

Mohamed Zaini kemudian menangguhkan perbicaraan ke 15 Februari ini.

Pada 18 Februari tahun lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Rosmah membela diri atas kesemua tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak itu setelah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Rosmah, 70, berhadapan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin.

Rasuah terbabit didakwa diterima melalui bekas Pegawai Khasnya Datuk Rizal Mansor sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah itu bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan (KPM). – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button