Berita Utama

Lalitha dakwa kandungan artikel berkait Azam Baki dari sumber sah

Siasatan berdasarkan tanggungjawab dan analisis neutral

KUALA LUMPUR, Rejab 1443H, Jumaat – Penyelidik Kanan Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4) K.Lalitha mendakwa kandungan artikel dan ciapannya berhubung Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki diperoleh daripada sumber yang sah.

Perkara itu dinyatakan Lalitha, 49, selaku defendan di dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan menerusi Tetuan Ibrahim & Fuaadah semalam.

“Saya telah menyiarkan artikel-artikel itu berdasarkan apa yang diekstrak daripada sumber yang disahkan serta merumuskan maklumat dengan tepat, adil dan secara neutral,” menurutnya dalam pernyataan pembelaan.

Beliau juga mendakwa selaku wartawan penyiasat, siasatan yang dilakukannya adalah berdasarkan tanggungjawab dan analisis neutral selain tidak berat sebelah terhadap fakta serta maklumat yang diperoleh, yang boleh diakses daripada domain awam.

“Saya memplid bahawa adalah amat penting bagi orang ramai untuk menerima komunikasi maklumat tertentu secara terus terang dan tanpa halangan, demi kepentingan awam,” katanya.

Pada 12 Januari lepas, Azam, 59, memfailkan saman terhadap Lalitha atas dakwaan menerbitkan artikel memfitnah berkaitan pembelian saham yang disiarkan oleh portal agensi berita Independent News Service (INS).

Azam mendakwa Lalitha telah mengarang dua artikel bertajuk Business Ties Among MACC Leadership: How Deep Does It Go? (Bahagian 1) dan Business Ties Among MACC Leadership: How Deep Does It Go? (Bahagian Dua) yang pertama kali diterbitkan dalam INS pada 26 Okt sebelum kedua-dua artikel diterbitkan semula pada 15 Dis tahun lepas.

Plaintif mendakwa defendan turut berkongsi pautan artikel itu di laman Twitternya atas nama @LalithaVelvet untuk disebarkan kepada umum dan pautan kepada kedua-dua artikel masih boleh diakses sehingga kini.

Dakwa Azam tajuk artikel itu adalah sensasi, bersifat skandal dan menjengkelkan kerana ia dikarang dan diterbitkan semula dengan niat jahat bagi memberi kesan serta gambaran yang amat buruk kepada pembaca bahawa plaintif seorang penjawat awam yang korup atau menyalahgunakan kedudukannya sebagai seorang pegawai tinggi SPRM untuk kepentingan sendiri atau adik-beradiknya.

Azam mendakwa penerbitan fitnah itu menyebabkan nama dan reputasinya tercemar dan oleh itu, beliau menuntut perintah bagi menghalang Lalitha atau ejennya daripada membuat, menerbitkan atau menyebabkan kenyataan berbaur fitnah tersebut diterbitkan semula selain memohon defendan memadam artikel dan ciapan dalam tempoh tiga hari penghakiman dibuat serta permohonan maaf dalam akhbar atau media sosial pilihan plaintif.

Turut dituntut ganti rugi am sebanyak RM10 juta dan ganti rugi teruk, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button