Berita Utama

Pengguna Lebuhraya Utara-Selatan dinasihat rancang perjalanan sebelum pulang

Trafik dijangka meningkat esok dan Ahad (6 Februari)

KUALA LUMPUR, 2 Rejab 1443H, Jumaat – Pengguna Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke Lembah Klang dinasihatkan memasuki lebuh raya sebelum 9 pagi antara 4 dan 6 Februari, kata PLUS Malaysia Berhad (PLUS).

PLUS dalam satu kenyataan memaklumkan, trend trafik meningkat pada hari kedua Tahun Baharu Cina (2 Februari) apabila Lebuhraya Utara-Selatan menyaksikan lonjakan trafik dari semua negeri.

Corak trafik yang sama dijangka berulang esok (5 Februari) dan Ahad (6 Februari) kerana mereka yang mengambil cuti panjang bersama-sama cuti sekolah akan memulakan perjalanan pulang ke Lembah Klang.

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi menasihatkan orang ramai untuk merancang perjalanan pulang mengikut arahan pulang ke Lembah Klang Nasihat Masa Perjalanan (TTA).

“Kami telah membuat persiapan yang diperlukan untuk memastikan pelanggan lebuh raya menikmati perjalanan pulang ke bandar dengan selesa.

“Antaranya ialah penempatan pasukan PLUSRonda tambahan untuk membantu mereka yang mungkin menghadapi masalah dengan kenderaan mereka,” katanya, hari ini.

Zakaria juga menasihatkan pengguna untuk memastikan kad Touch n’ Go atau e-dompet mereka untuk transaksi RFID mempunyai baki yang mencukupi demi perjalanan lancar terutamanya di plaza tol.

“Pengguna juga digesa menggunakan aplikasi perjalanan sedia ada untuk merancang laluan anda secara awal sebagai langkah mengelak kesesakan di sepanjang lebuh raya,” katanya.

Pengguna boleh mendapatkan kemas kini lebuh raya atau situasi trafik terkini melalui aplikasi PLUS Malaysia, saluran media sosial atau laman web mereka di www.plus.com.my

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button