Berita Utama

Dakwaan isu integriti pegawai kanan MARA disiasat Isnin ini: SPRM

Siasatan ambil keterangan saksi daripada Mara Corporation

KUALA LUMPUR, 3 Rejab 1443H, Sabtu – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan menerima satu laporan berhubung dakwaan isu integriti melibatkan beberapa pegawai kanan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang sedang disiasat secara dalaman oleh agensi itu.

SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya memandang serius dakwaan itu dan siasatan akan dijalankan bermula Isnin ini dengan mengambil keterangan beberapa saksi daripada Mara Corporation.

“Siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang berkaitan dengan kesalahan mana-mana pegawai badan awam yang menggunakan jawatan atau kedudukannya untuk mendapatkan suapan,” menurut kenyataan itu.

Semalam Bernama melaporkan Pengerusi MARA Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata pihaknya memulakan siasatan lanjut di MARA Corporation dengan meneliti dokumen-dokumen berkaitan bagi memastikan pengurusan syarikat sentiasa berlandaskan tadbir urus yang baik.

“Sekiranya wujud sebarang salah laku dalam tadbir urus anak syarikat di bawah agensi ini, MARA sesekali tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana individu yang terlibat atas prinsip menjunjung nilai integriti dalam melaksanakan amanah yang diberikan,” katanya lagi. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button