Berita Utama

ISMA gesa gubal perundangan, arak kini dijual 200 meter dari penempatan Islam

Elak penempatan majoriti Melayu Islam jadi lokasi jual arak

Oleh: Zuhayati Yazid

BANGI, 3 Rejab 1443H, Sabtu – Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu memperhalusi dan meminda undang-undang berkenaan arak agar penjualannya di kawasan penempatan majoriti Islam dikawal.

Gesaan itu dinyatakan gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) yang melihat keadaan semasa lebih banyak membawa kepada kemudaratan, kerosakan sosial, moral dan kematian akibat pengambilan arak yang tidak dikawal.

Naib Presiden ISMA, Ustaz Mohd Noor Azib Asmangi berkata, undang-undang sedia ada sudah terlalu lama dan perlu digubal mengikut kesesuaian keadaan semasa.

“Keadaan ini memerlukan semua pihak buka mata dan perlu diambil perhatian dengan meneliti semula agar bersesuaian keadaan semasa dan penguatkuasaan boleh diambil.

“Undang-undang sedia hanya menetapkan premis jualan arak haruslah 200 meter daripada kawasan perumahan tetapi isunya hari ini penjualan dilakukan secara terbuka, di penempatan yang majoriti Islam kebanyakan jenis rumah kedai atau rumah kos rendah.

“Selain itu kebanyakan yang menjual arak ini terdiri daripada kedai serbaneka, kedai-kedai ubat, runcit dan ada juga membabitkan pekerja beragama Islam,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Terdahulu beliau melancarkan kempen Malaysia Sejahtera Tanpa Arak yang berlangsung di Bangi Resort Hotel, di sini hari ini.

Katanya lagi, penjualan yang terbuka di kawasan penempatan Islam dan Melayu hanya membuka ruang kepada golongan muda kemudahan mendapatkan bekalan arak secara mudah sedangkan dari segi perundangan ia tidak patut berlaku.

“Kita orang Melayu dan Islam terus terbuai dan merasakan pengambilan arak tersebut sesuatu yang biasa dan menjadi trend, sedangkan ia adalah perkara yang membawa banyak kemudaratan daripada manfaat,” katanya.

Justeru, Ustaz Mohd Noor Azib menyeru perkara ini diambil perhatian dan undang-undang bersesuaian digubal agar penguatkuasaan boleh dilaksanakan secara tegas serta adil.

Katanya, satu kajian perlu dilakukan semula berkenaan peraturan penjualan arak dan minuman keras sehingga satu garis panduan baharu diwujudkan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button