Berita Utama

Jangan hantar anak ke sekolah jika ada simptom COVID-19

Gesaan terutama buat ibu bapa bawa anak bercuti sepanjang Tahun Baharu Cina

KUALA LUMPUR, 3 Rejab 1443H, Sabtu – Ibu bapa digesa tidak menghantar anak ke sekolah sebaik sesi disambung semula selepas cuti Tahun Baharu Cina jika mereka mengalami gejala COVID-19.

Menteri Pendidikan Kanan, Senator Datuk Dr Radzi Jidin berkata demikian terutamanya kepada ibu bapa yang membawa anak-anak mereka keluar bercuti dalam tempoh tersebut.

“Ini bagi memastikan persekitaran sekolah kekal selamat dan mengurangkan risiko jangkitan COVID-19,” katanya dalam video yang dimuat naik di laman Facebooknya hari ini.

Sementara itu, Radzi berkata, hanya 7.15 peratus kes baharu yang dilaporkan antara 1 Januari dan 1 Februari dikaitkan dengan kluster pendidikan, yang bersamaan dengan 8,491 kes. 

Majoriti kes dilaporkan dari sekolah berasrama penuh.

Daripada 100 kluster pendidikan yang dikesan antara tempoh itu, 96 daripadanya adalah daripada institusi di bawah kementerian membabitkan 5,138 kes.

Baki empat kluster dikesan di institusi pendidikan swasta membabitkan 356 kes.

“Sebanyak 84 daripada 96 kluster dilaporkan dari sekolah berasrama penuh melibatkan 4,767 kes manakala baki 12 kluster adalah daripada sekolah bukan berasrama dengan 371 kes,” katanya.

Beliau berkata, kementerian telah meletakkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi membendung penularan virus itu terutama di sekolah berasrama penuh.

Ini termasuk ujian kendiri yang kerap terhadap pelajar yang pulang ke asrama pada hari pertama, keenam dan ke-14.

Bagi pelajar bukan peperiksaan awam, beliau berkata, mereka yang pulang ke rumah untuk cuti Tahun Baharu Cina diminta meneruskan kelas dalam talian daripada kembali ke sekolah.

“Ini bagi memastikan pelajar yang menduduki peperiksaan pada Februari dan Mac dilindungi.

“Dengan kerjasama semua pihak, kami percaya sesi persekolahan dapat diteruskan dengan lancar, teratur dan selamat,” katanya lagi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button