Berita Utama

Tiada ‘political will’, tiba masa rakyat bentuk gelombang tolak arak

Gelombang ini amat signifikan terutama bila ada pilihan raya

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 3 Rejab 1443H, Sabtu – Timbalan Mufti Perak, Datuk Dr Haji Zamri Hashim berkata, usaha menyifarkan pengambilan arak di negara ini adalah satu tindakan yang amat sukar dilakukan dan memerlukan kepada gelombang besar daripada rakyat sendiri untuk menolaknya.

Beliau berkata, bahkan di dalam al-Quran telah dinyatakan bahawa proses mengharamkan arak berlaku dalam tiga fasa.

Katanya, meskipun ia sudah diharamkan secara sepenuhnya namun realitinya, masih ada yang meminumnya.

Sehubungan itu, Ustaz Zamri berkata, usaha menghentikan pengambilan arak berkait rapat dengan kekuatan iman seseorang. 

“Tetapi masalahnya iman seseorang itu tidak standard. Tidak sama. Sebab itu Imam al-Mawardi menyebut, cuplikan daripada pandangan Saidina Umar dan Saidina Uthman bahawa ada beberapa perkara yang al-Quran tak mampu nak hilangkan. Tetapi yang mampu hilangkan adalah al-Sultan. 

“Ini yang dinamakan ‘political will’ dan ‘political honesty’. Jadi kalau ini pun tak jalan, sudah sampai masa rakyat membentuk gelombang baharu untuk menolak arak,” katanya dalam Majlis Pelancaran Kempen Malaysia Sejahtera Tanpa Arak yang diadakan di Bangi, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, gelombang ini amat signifikan terutama sekali apabila pada pilihan raya akan datang, di mana remaja berusia 18 tahun akan turut sama mengundi.

Justeru, katanya, kelompongan ini perlu diisi untuk menentukan hala tuju masa akan datang.

“Kita tak nak lagi pemimpin ‘recycle’,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, seandainya suatu masa nanti dengan idealnya berlaku situasi di mana golongan rakan-rakan bukan Islam dapat berpayung di bawah keadilan umat Islam, mereka turut mempunyai hak.

“Jadi bagaimana hak mereka. Dalam penerangan undang-undang kenegaraan Islam, Imam Nawawi dalam kitab al-Muhazzab, diterangkan bagaimana pemerintah Islam membenarkan mereka untuk minum arak dan sebagainya dalam keadaan peribadi, selama mana penganut bukan Islam itu tiada larangan daripada agama dia sendiri. 

“Kalau ada larangan agama daripada agama dia sendiri, pemerintah boleh ambil tindakan. Tetapi kalau tiada larangan daripada agama dia sendiri dan minum pada kadar peribadi sebagai menjamin hak sebagai manusia, silakan. 

“Tapi jika dia sudah kacau orang dan sebagainya dan menzahirkan kemegahan dia. Dibuat kempen, October Fest sebagainya. Itu kerajaan perlu ada tindakan,” katanya.

Ustaz Zamri menegaskan, apa yang utama adalah arak itu bukan menjadi satu industri dan bukan buat penggunaan umum.

“Sama ada nak import atau buat sendiri, buat hanya sekadar keperluan dia. Bukan untuk penggunaan umum,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button