Berita Utama

Undang-undang cegah arak di Malaysia belum cukup kuat: Shamrahayu

Pengecualian lesen jual arak mudahkan lagi penjualan secara runcit

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 3 Rejab 1443H, Sabtu – Undang-undang untuk mencegah arak di Malaysia masih belum mencukupi, demikian kata Pakar Perlembagaan, Prof Datuk Dr Shamrahayu Abd Aziz.

Menjelaskan kenyataan itu, beliau berkata, pertamanya, definisi arak itu sendiri tidak begitu tegas dinyatakan dalam undang-undang sivil.

Sedangkan, dalam hukum syariah jelas penjelasan mengenai arak.

“Kelemahan yang ada dalam undang-undang kita ini, definisi arak itu sendiri tidak dijelaskan dengan kukuh. Istilah arak yang diguna pakai di bawah Akta Kastam 1967 ialah ‘liquor yang memabukkan’. Seksyen 2(1) Akta Kastam 1967, takrif ‘liquor yang memabukkan’ termasuklah apa-apa alkohol, atau apa-apa cecair yang mengandungi lebih daripada dua peratus spirit pruf atau alkohol mutlak. 

“Pada saya, definisi ini belum begitu lengkap. Itu masalah pertama,” katanya dalam Majlis Pelancaran Kempen Malaysia Sejahtera Tanpa Arak yang diadakan di Bangi, hari ini.

Kelemahan kedua, kata beliau, terdapat pada Seksyen 32 Akta Eksais 1976, yang membolehkan penjualan arak dengan lesen atau tanpa lesen. 

“Contoh Seksyen 32 Akta Eksais 1976 ini juga memberikan pengecualian lesen jualan runcit bagi minuman ringan beralkohol seperti bir atau todi memandangkan ia bukanlah ditakrifkan sebagai liquor yang memabukkan.

“Maknanya bila ada pengecualian daripada lesen, jualan runcit ini tidak perlukan lesen. Seksyen 32 ini juga memberi kuasa kepada menteri kewangan untuk membenarkan sesiapa sahaja menjual apa-apa liquour yang memabukkan secara runcit. 

“Jadi undang-undang itu tidak lengkap. Pengecualian itu telah memudahkan penjualan secara runcit,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Prof Shamrahayu berkata, kelemahan ketiga yang paling menjadi masalah dalam undang-undang adalah pelaksanaan. 

“Contoh dari segi larangan penjualan arak kepada mereka yang 21 tahun ke bawah. Saya mungkin tidak up to date pada pelaksanaan hukuman ini. 

“Tetapi saya tidak pernah dengar penguatkuasaan itu. Dia sangat lemah. Dengan mata kepala kita sendiri kita boleh tengok, kalau ke kedai ada remaja yang membelinya,” katanya.

Justeru, melihat kepada kelemahan itu, Prof Shamrahayu berkata, apa yang boleh diusulkan adalah menyepadukan pelaksanaan undang-undang syariah, dengan undang undang di peringkat Persekutuan. 

“Contoh orang Islam minum arak kemudian memandu kereta. Ia akan menjadi kesalahan memandu kereta secara di bawah pengaruh alkohol, bukan kesalahan minum arak. 

“Jadi pelaksanaan secara bersepadu undang-undang syariah dan undang undang pengangkutan jalan perlu lebih ketat. Dari segi pelaksanaan itu beberapa dimensi lagi perlu ditambah baik. Dari segi konten, substantif dan penguatkuasaan masih kurang,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button