Berita UtamaDunia

Kes COVID-19 di Korea Selatan sudah lepasi sejuta

38,691 kes jangkitan baharu didorong varian Omicron

SEOUL, 4 Rejab 1443H, Ahad – Kes kumulatif COVID-19 di Korea Selatan pada Ahad melepasi sejuta sejak wabak itu bermula.

Pegawai kesihatan hari ini melaporkan 38,691 jangkitan baharu yang didorong oleh varian Omicron – yang dikatakan lebih cepat merebak.

Korea Selatan menyaksikan kes pertama COVID-19 yang disahkan pada 20 Januari 2020 dan tidak lama kemudian menjadi negara pertama di luar China yang memerangi wabak pandemik itu.

Strategi agresif mengesan, memakai pelitup muka dan melaksanakan kuarantin membantu republik itu menumpulkan gelombang awal dan mengekalkan kes serta kematian keseluruhan pada kadar rendah tanpa sekatan yang meluas.

Bagaimanapun, penularan varian Omicron mendorong kes jangkitan ke tahap tertinggi.

Jumlah kematian kekal rendah di negara yang tinggi kadar pemberian vaksinasi itu, namun 15 kematian baharu dilaporkan setakat tengah malam Sabtu, menurut Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA).

Kes harian hampir lima kali lebih tinggi daripada dua minggu lalu apabila varian Omicron mula mendominasi, tetapi kes jangkitan serius kekal pada tahap terkawal setakat ini, kata pihak berkuasa.

Jumaat lalu, pegawai mengumumkan langkah penjarakan sosial akan dilanjutkan sekurang-kurangnya dua minggu lagi, termasuk perintah berkurung pada jam 9 malam untuk operasi perniagaan, selain had kepada enam orang untuk perhimpunan persendirian.

Secara keseluruhan, Korea Selatan melaporkan 1,009,688 kes dengan 6,873 kematian.

Hampir 86 peratus daripada 52 juta penduduk negara itu telah diberi vaksin lengkap dan lebih 54.5 peratus sudah menerima dos penggalak. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button