Berita Utama

Lonjakan kes COVID-19 bukan penghalang PRN Johor

Keadaan kini lebih baik berbanding PRN Melaka, Sarawak

JOHOR BAHRU, 4 Rejab 1443H, Ahad – Peningkatan kes positif COVID-19 yang direkodkan ketika ini bukan penghalang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dilaksanakan berikutan pemberian vaksin termasuk suntikan penggalak menjadi pelindung daripada penularan wabak.

Ketua Penerangan UMNO Johor, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, keadaan kini adalah lebih baik berbanding ketika mengadakan PRN di Melaka dan Sarawak kerana dos penggalak giat diberi kepada masyarakat.

Beliau yang juga Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN) Johor berkata, pihaknya yakin prosedur operasi standard (SOP) yang akan diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi PRN Johor akan membantu mengekang penularan jangkitan COVID-19.

“Walaupun varian Omicron mempunyai kadar penularan jangkitan lebih tinggi, kita yakin garis panduan berkempen akan bertepatan dengan keadaan semasa.

“Pihak berkuasa mengendalikan SOP terutama Kementerian Kesihatan (KMM) dan SPR pasti akan melindungi pengundi daripada terjejas dengan jangkitan menerusi langkah pencegahan terbaik.

“Persiapan SPR terhadap kaedah dan cara di tempat mengundi itu pasti bersesuaian dengan SOP serta memberi perlindungan untuk semua keluar mengundi,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.

Terdahulu dilaporkan, sebanyak 10,089 kes harian direkodkan pada Ahad.

Daripada jumlah itu, 77 kes bersamaan 0.76 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5 manakala 10,012 kes iaitu 99.24 peratus adalah kategori 1 dan 2.

Dr Adham yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, lonjakan kes COVID-19 ketika ini adalah kesan daripada varian Omicron.

Justeru, pihaknya meminta kerajaan segera bertindak bagi melandaikan keluk dan memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

“Ini adalah antara langkah yang perlu diambil selain pemberian dos penggalak dan vaksin kepada kanak-kanak, itu lebih penting,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button