Berita Utama

Hajiji tolak dakwaan hubungan dengan Bung Moktar retak, GRS masih kukuh

Tidak ragu-ragu daftar GRS secara rasmi jika dipersetujui komponen

KUDAT, 4 Rejab 1443H, Ahad – Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor hari ini menolak dakwaan kononnya hubungan beliau dengan Timbalannya, Datuk Seri Bung Moktar Radin retak, sebaliknya menegaskan hubungan antara pemimpin dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu adalah kukuh.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, beliau tidak dapat menjadi Ketua Menteri dan kekal dalam jawatan itu tanpa sokongan padu semua rakan komponen parti dalam GRS.

“Saya akan nyatakan dengan jelas, memandangkan Datuk Bung (Moktar) ada di sini, kami tidak pernah bertelagah (antara satu sama lain). Tidak pernah berlaku salah faham walaupun orang lain cakap tentang kami.

“Hubungan saya dengan Datuk Bung, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili (Presiden Parti Bersatu Sabah – PBS) dan Datuk Dr Jeffrey Kitingan (Presiden Parti Solidariti Tanah Airku – Star) sangat mesra dan semakin lama semakin kuat,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini sempena penutupan Pemukiman Kelab Penyokong Kerajaan GRS, yang diadakan semalam.

GRS adalah gabungan yang disertai Perikatan Nasional (PN – Bersatu, STAR, SAPP, PAS dan Gerakan), Barisan Nasional (BN – UMNO, PBRS, MIC dan MCA) dan PBS.

Hajiji juga Pengerusi PN Sabah berkata, beliau dan Bung Moktar yang merupakan Pengerusi BN Sabah, berbincang mengenai perlunya melindungi mandat yang diberikan rakyat kepada GRS, dan kerajaan Sabah diterajui GRS hanya mempunyai masa kurang empat tahun, untuk berusaha keras demi rakyat sebelum mandat itu berakhir.

Mengenai isu pendaftaran GRS secara rasmi, Hajiji berkata, beliau tidak ragu-ragu jika perkara itu dipersetujui oleh semua komponen dalam GRS.

“Jika ini yang diinginkan oleh semua orang, maka saya akan berusaha untuk memastikan GRS akan didaftarkan secara rasmi. Saya percaya bahawa dengan mendaftarkan GRS sebagai pakatan rasmi, ia akan mengukuhkan lagi hubungan dan perpaduan komponennya,” katanya.

GRS memenangi Pilihan Raya Negeri Sabah pada 2020 apabila memenangi 41 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan, sekali gus menumbangkan gabungan Warisan Plus (Warisan, Upko dan DAP) yang memperoleh 32 kerusi.

Selepas pembentukan kerajaan negeri, GRS memperoleh tambahan enam kerusi melalui enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilantik dan seterusnya lima ADUN pembangkang menyertai GRS menjadikan jumlah keseluruhan kerusi DUN kini 52. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button