Berita Utama

Henti ‘double standard’ dalam isu arak: BERJASA

Premis arak tumbuh bagai cendawan sedangkan ADUN, PBT Melayu!

BANGI, 4 Rejab 1443H, Ahad – Parti BERJASA menggesa supaya menghentikan ‘double standard’ dalam isu arak, khususnya terhadap tindakan serta hukuman yang hanya diambil kepada peminum yang menyebabkan kemudaratan masyarakat.

Ketua Pemuda BERJASA, Fahmi Bazlan berkata, akta yang diwujudkan hanyalah sebagai syarat untuk tindakan yang bakal diambil kepada peminum arak yang menyebabkan kemudaratan seperti kemalangan jalan raya.

Sedangkan beliau berkata, bagi golongan ‘kayangan’, ia dijadikan tujuan perniagaan dan minuman harian walaupun beragama Islam tanpa dikenakan sebarang tindakan kerana tidak membabitkan kemalangan, meskipun Allah SWT melaknat lapan golongan terlibat dengan arak.

“Ketinggian darjat agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan makin direndahkan dek sikap pemimpin Melayu Islam yang ‘sangat’ bertoleransi demi sokongan undi dan jawatan semata-mata.

“Agama sanggup diketepikan kononnya ia antara sumber utama ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Atas sebab itu, beliau berkata, kewujudan premis yang menjual arak bertambah bagai cendawan tumbuh selepas hujan, termasuk di kawasan majoriti Melayu.

“ADUN pun Melayu, Ahli Jawatankuasa PBT pun Melayu. Malang seribu kali malang masyarakat kita.

“Realiti yang sedang berlaku adalah isu kemalangan jalan raya melibatkan pemandu mabuk, keganasan rumah tangga, seks bebas dan macam-macam lagi terus meningkat keranan kemudahan ketercapaian arak,” katanya.

Beliau berkata, ini bukan misi mustahil untuk memperketatkan ketercapaian arak di kedai serbaneka kerana ‘political will’ yang teguh adalah punca kuasa utama dalam isu berkenaan.

“Mulakan langkah pertama di kawasan majoriti Melayu demi kesejahteraan sejagat. Perlembagaan yang dibina bukan hanya sekadar hiasan, tetapi sebagai identiti kebangsaan.

“Jangan takut untuk laporkan arak di premis kawasan perumahan anda, kami akan mendukung usaha berani anda,” katanya.

Semalam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) melancarkan kempen Malaysia Sejahtera Tanpa Arak bagi menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) memperhalusi dan meminda undang-undang berhubung arak supaya penjualannya di kawasan majoriti Melayu, Islam dikawal.

Kempen yang dianjur bersama Yayasan Maghfirah itu antara lain turut melancarkan petisyen bantahan secara atas talian, memorandum bantahan, ceramah, video serta poster kesedaran.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button