Berita UtamaIstimewa

Isu arak: Sanggupkah pemimpin jahanamkan anak bangsa demi kejar pulangan ekonomi?

BERJASA syor larangan jual arak di kawasan majoriti muslim

BANGI, 4 Rejab 1443H, Ahad – Kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob digesa mengambil tindakan tegas dan berani dalam mengekang impak negatif arak terhadap pembangunan insaniah dan fizikal negara.

Bahkan kerajaan juga harus memiliki ‘political will’ yang kuat dan merangka perancangan 10 tahun contohnya supaya Malaysia mampu memiliki undang-undang yang mengharamkan penghasilan serta penjualan arak secara menyeluruh.

Ia boleh dimulakan dengan undang-undang yang lebih mudah dan praktikal contohnya meningkatkan hukuman terhadap para pelaku jenayah yang disebabkan pengaruh alkohol, saran Setiausaha Agung BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim.

Beliau turut mengesyorkan larangan penjualan arak kepada semua bangsa dan agama di kawasan majoriti muslim, menguatkuasakan larangan penjualan arak kepada orang Islam dan mengenakan batasan maksimum minuman alkohol yang boleh diminum oleh orang bukan Islam dalam seminggu atau sebulan.

“BERJASA turut mendesak kerajaan menguatkuasakan undang-undang bagi melarang penglibatan muslim dalam sebarang aktiviti penghasilan, penghantaran dan penjualan arak di Malaysia.

“Dari segi ekonomi pula, import arak perlu dihentikan secara berperingkat, cukai (sin tax) dinaikkan secara drastik dan tanggungan kerajaan terhadap rawatan penyakit yang disebabkan ketagihan alkohol dihentikan serta-merta,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Lukman tidak menolak kemungkinan bahawa faktor ekonomi satu-satunya sebab arak masih dihasilkan dan dijual secara berleluasa di seluruh dunia termasuk negara ini.

Walhal, semua pakar kesihatan, pakar sosiologi dan pakar pemakanan di seantero dunia mengiktiraf impak negatif minuman ini dalam segenap aspek kehidupan manusia.

“Industri arak dunia bernilai AS$1.4 trilion pada tahun 2017 dan dijangka meningkat ke AS$1.6 trilion pada 2025. Manakala di Malaysia ia mencatatkan jualan AS$943 juta pada tahun 2020 dan dijangka melonjak kepada AS$1.4 billion tiga tahun lagi.

“Persoalannya, sanggupkah pemimpin Malaysia sebagai sebuah negara yang mendaulatkan Islam sebagai agama Persekutuan terus membenarkan arak menjahanamkan anak bangsa semata-mata bagi mengejar pulangan ekonomi?

“Padahal ketagihan arak dan kesan kemabukan arak menyebabkan lebih tiga juta kematian setahun di seluruh dunia termasuk Malaysia. Ia mewakili 5.3 peratus dari keseluruhan jumlah kematian manusia!” tegasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa arak juga terkenal sebagai punca kepada lebih 200 jenis penyakit dan kecacatan yang menyebabkan negara terpaksa menanggung kos rawatan berjumlah puluhan juta ringgit.

Pautan terdahulu;

https://ismaweb.net/2022/02/06/henti-double-standard-dalam-isu-arak-berjasa/
https://ismaweb.net/2022/02/05/undang-undang-cegah-arak-di-malaysia-belum-cukup-kuat-shamrahayu/
https://ismaweb.net/2022/02/05/tiada-political-will-tiba-masa-rakyat-bentuk-gelombang-tolak-arak/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button