Berita Utama

PAS tolak dakwaan matikan legasi Nik Aziz

Nama Nik Abduh lepas tapisan Majlis Syura, kerusi akan ditentukan jika tuan badan sedia tanding

BANGI, 22 Zulhijjah 1444H, Selasa – PAS memaklumkan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz melepasi tapisan Majlis Syura dan tersenarai untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN), pada 12 Ogos depan.

Dengan tersenarainya nama bekas Ahli Parlimen Bachok itu, dapat sekali gus menafikan dakwaan PAS cuba mematikan legasi bekas Menteri Besar Kelantan, Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat atau Tok Guru.

Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin berkata, nama Nik Mohamad Abduh telah melepasi tapisan Majlis Syura PAS selepas pimpinan PAS negeri mencadangkan nama berkenaan.

Bagaimanapun, kerusi yang akan ditandingi akan ditentukan PAS negeri.

“Saya boleh sahkan di antara senarai calon termasuk Nik Abduh yang telah diluluskan untuk bertanding PRN,” katanya seperti dipetik portal tempatan, hari ini.

Bagaimanapun, Hashim berkata, buat masa ini semuanya bergantung kepada Nik Abduh sendiri sama ada bersedia atau tidak menyertai PRN.

“Tuan punya tubuh itu sendiri bersedia atau tidak nak bertanding? Kita tak paksa. Mereka layak bertanding untuk bertanding,” katanya.

Sebelum ini, nama Nik Abduh menjadi teka-teki sama ada tersenarai atau tidak pada PRN susulan namanya tidak tersenarai pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), lalu.

Namun Nik Abduh yang juga bekas Ahli Parlimen Pasir Mas (2013 hingga 2018 ) dan Parlimen Bachok (2018 hingga 2022) selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebelum ini menegaskan akan setia dan memberi sokongan meskipun namanya tidak disenarai.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button