Berita UtamaDunia

2 tahun ditutup, Australia buka sempadan kepada pelancong

Sempadan dibuka kepada pemegang visa pada 21 Februari

SYDNEY, 5 Rejab 1443H, Isnin – Australia akan membuka semula sempadan negara kepada pelancong mulai 21 Februari – sekali gus menamatkan beberapa sekatan perjalanan yang paling ketat dan lama berlaku di dunia.

Perdana Menteri, Scott Morrison berkata, sudah hampir dua tahun sejak kerajaan mengambil keputusan untuk menutup sempadan ke Australia.

“Sempadan akan dibuka semula kepada semua pemegang visa pada 21 Februari tahun ini,” katanya sambil mengalu-alukan kepulangan rakyat yang telah menerima dos lengkap vaksin COVID-19 ke Australia.

Sempadan Australia ditutup pada Mac 2020 dengan harapan dapat melindungi pulau benua itu daripada wabak global yang semakin meningkat.

Sejak itu, warga Australia dilarang keluar dan hanya segelintir pelawat diberikan pengecualian untuk masuk.

Peraturan itu menyebabkan rakyat terkandas di luar negara, menghancurkan industri pelancongan berbilion dolar dan sering menimbulkan perdebatan hangat mengenai status Australia sebagai negara moden, terbuka serta berpandangan ke luar.

Menurut Dewan Perniagaan dan Industri Australia, setiap bulan penutupan sempadan menyebabkan perniagaan menelan belanja sebanyak AS$2.6 bilion.

Dalam beberapa bulan belakangan ini, peraturan itu dilonggarkan secara beransur-ansur untuk warga Australia, pemegang pas jangka panjang dan pelajar.

Keputusan terkini akan menyaksikan hampir semua sekatan yang ada ditarik balik.

Difahamkan, hanya segelintir negara yang masih ditutup kepada pelancong antaranya Jepun, China, New Zealand dan beberapa negara Pulau Pasifik. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button