Berita Utama

Hakim lain dengar bicara kes saman FGV Holdings terhadap Isa Samad

Tuntut saman RM7.69 juta kondominium dibeli dengan harga melebihi pasaran

KUALA LUMPUR, 5 Rejab 1443H, Isnin – Perbicaraan kes saman FGV Holdings Berhad terhadap bekas Pengerusinya, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad serta bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan syarikat itu, Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah yang akan bersambung di Mahkamah Tinggi di sini pada 21 Februari ini, akan didengar di hadapan hakim lain.

Saman itu difailkan FGV Holdings bagi menuntut ganti rugi berjumlah RM7.69 juta membabitkan kondominium mewah di Troika, Persiaran KLCC yang didakwa dibeli dengan harga melebihi pasaran.

Peguam Lavinia Kumaraendran yang mewakili Mohd Isa selaku defendan pertama berkata perbicaraan kes itu akan didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Arief Emran Arifin, menggantikan Pesuruhjaya Kehakiman Quay Chew Soon yang telah berpindah ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

“Pada prosiding pengurusan kes kali pertama menerusi Zoom di hadapan Yang Arif Datuk Arief Emran hari ini, mahkamah menetapkan perbicaraan bersambung 21 dan 23 Februari serta 28 dan 29 Mac ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Lavinia berkata plaintif akan mengemukakan 32 lagi saksi untuk memberi keterangan, namun mahkamah mengarahkan pihak-pihak mempertimbangkan semula klasifikasi dokumen-dokumen agar jumlah saksi boleh dikurangkan.

Seramai 13 saksi plaintif telah memberi keterangan pada perbicaraan kes saman itu yang bermula awal 2020.

FGV Holdings Berhad selaku plaintif menerusi kenyataan kepada Bursa Malaysia pada 30 November 2018, menjelaskan saman difailkan terhadap kedua-dua defendan itu adalah berhubung pembelian kondominium mewah di Troika, Persiaran KLCC oleh FGV dengan harga dikatakan melebihi pasaran.

Syarikat itu memaklumkan saman berkenaan juga berkaitan penyalahgunaan kenderaan syarikat dan faedah petrol oleh Mohd Emir.

Justeru, FGV menuntut RM4.54 juta daripada kedua-dua defendan berhubung pembelian kondominium berkenaan dan RM3.15 juta daripada Mohd Emir atas dakwaan menyalahgunakan kenderaan syarikat serta faedah petrol, selain menuntut faedah pada kadar lima peratus setahun terhadap ganti rugi diberikan mulai dari tarikh pemfailan saman itu sehingga tarikh penyelesaian penuh dan muktamad. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button