Berita Utama

Hilang kepercayaan, 300 ahli Bersatu Tanjung Piai umum keluar parti

Dakwa Bersatu hilang arah tujuan, tiada masa depan

BANGI, 5 Rejab 1443H, Isnin – Kira-kira 300 ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tanjung Piai mengisytiharkan hilang kepercayaan dan keluar parti berkuat kuasa serta-merta, malam tadi.

Serentak itu, mereka mengumumkan menyertai parti Warisan Sabah (Warisan) dalam majlis yang berlangsung di Pekan Nanas.

Kesemua yang terlibat terdiri daripada ahli jawatankuasa Bersatu Tanjung Piai dan lima lagi cawangan Pusat Daerah Mengundi (PDM) iaitu Pekan Nanas Timur, Pekan Nanas Selatan, Ladang South Malaya, Melayu Raya dan Lubok Sawah.

Bekas Setiausaha Bahagian Tanjung Piai, Hishammuddin Busri berkata, keputusan keluar parti diambil selepas mendapati Bersatu hilang arah tujuan dan tiada masa depan.

“Keputusan keluar parti ini dibuat secara sukarela melibatkan enam ahli jawatankuasa bahagian Bersatu Tanjung Piai, lima PDM melibatkan keseluruhan seramai 300 orang ahli.

“Kami berpandangan hala tuju Bersatu kini sudah tidak selari dengan perjuangan kami selain tiada hala tuju,” katanya.

Beliau bersama ahli lain kemudiannya menyerahkan borang keahlian kepada Naib Presiden Warisan, Datuk Junz Wong dalam satu majlis ringkas yang diadakan.

Hishammuddin berkata, keputusan untuk berhijrah kepada Warisan dibuat selepas melihat parti berkenaan terbuka untuk semua kaum dan tidak terhad kepada bangsa tertentu.

Pada masa sama, beliau mendedahkan, ada wakil parti politik lain yang menghubunginya selepas mengetahui hasrat dirinya dan beberapa ahli lain untuk keluar parti.

Bagaimanapun, beliau berpandangan, Warisan dilihat lebih praktikal dan sesuai dengan perjuangan.

Selain dilihat lebih terbuka memandangkan ia bukan parti kepada satu kaum sahaja, tidak seperti parti-parti politik lain yang terdapat di negara ini.

Sementara itu, Junz Wong berkata, setakat ini, Warisan mempunyai 85 cawangan di seluruh negara yang disertai 20,000 ahli.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button