Berita Utama

Kelemahan rakyat patuh SOP punca kes COVID-19 melonjak semula

Perhebat pemberian vaksin dos penggalak, beri penerangan tepat elak gambaran negatif

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 5 Rejab 1443H, Isnin – Kelemahan orang ramai dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) menjadi punca kes COVID-19 melonjak semula, kata Timbalan Presiden Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim), Dr Norzaidi Zakaria.

“Kalau dilihat hari ini, rakyat seolah-olah bebas daripada COVID-19 sehingga tiada lagi penjarakan dan SOP itu hanya dilihat sebagai kenangan atau sekadar digantung semata-mata tanpa dipatuhi lagi.

“Sedangkan pematuhan SOP yang jelas dan ketat itu telah terbukti sebelum ini mampu menyelamatkan kes daripada terus bertambah.

“Namun kini tidak ramai yang masih kekal berada dalam keadaan berjaga-jaga dan mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas lonjakan semula kes COVID-19 daripada varian Omicron yang kembali mengganas sejak kebelakangan ini.

Namun, Dr Norzaidi menjelaskan, situasi kini sudah jauh berbeza dengan sebelum ini ketika rakyat belum diberikan vaksinasi.

Tegasnya, keadaan kini lebih selamat selepas lebih 90 peratus penduduk mendapat vaksinasi lengkap.

“Kini, semua faktor itu berubah ketara apabila kadar pemberian vaksin kita antara terbaik di dunia, kesan klinikal berikutan varian Omicron pula tidak begitu teruk berbanding varian sebelum ini.

“Begitu juga kadar kematian tidak setinggi dahulu lagi, walaupun kes melonjak melebihi 10,000, semua ini hasil daripada keberkesanan daripada pemberian suntikan vaksin,” katanya.

Bagaimanapun, sebagai langkah mengawal keadaan, beliau mengesyorkan supaya arahan bekerja dari rumah (BDR) dikembalikan semula.

“Semua ini boleh dilihat sebagai usaha kerajaan mengatasi selain mengelak ramai yang berada di luar rumah.

“Tidak salah sekiranya kembalikan kembalikan peraturan bekerja dari rumah semula, keadaan perkara itu banyak mempengaruhi persekitaran sekali gus dapat mengekang daripada kes terus melonjak,” katanya.

Pun begitu, kerajaan tidak perlu lagi mengembalikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana ia dianggap tidak praktikal selain tidak menyelesaikan masalah.

PKP secara menyeluruh juga hanya akan memburukkan keadaan termasuk dari sudut ekonomi, kesihatan dan masalah sosial sahaja, katanya.

Sebaliknya, kerajaan perlu bertegas dan mengembalikan serta mengetatkan semula SOP yang diguna pakai semua pihak.

Pada masa sama, Dr Norzaidi berkata, usaha pemberian vaksin dos penggalak juga perlu diperhebatkan lagi supaya imunisasi seseorang menjadi lebih kuat.

Beliau tidak menafikan ramai yang menolak suntikan penggalak berikutan bimbang dengan kesan negatif yang diterima.

“Sepatutnya pihak yang bertanggungjawab memberi maklumat dan penjelasan sebenar terhadap kesan supaya suntikan ini tidak memberi gambaran yang negatif kepada pengguna,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button