Berita Utama

Kos meningkat, 25 peratus penternak ayam Selangor gulung tikar

Kerajaan digesa ambil inisiatif salur subsidi bantu penternak

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 5 Rejab 1443H, Isnin – Sehingga bulan Januari tahun ini dilaporkan 25 peratus daripada sejumlah penternak ayam di negeri ini terpaksa gulung tikar.

Ia berikutan beberapa masalah melibatkan kos yang tidak mampu lagi ditampung oleh penternak berkenaan.

Sehubungan itu, Penasihat Kehormat Persatuan Penternak Ayam Negeri Selangor, Datuk Ishak Mat Arif menggesa, kerajaan campur tangan dengan menyediakan subsidi sebagai insiatif mengawal kenaikan harga ayam.

“Kami menggesa subsidi diberikan memandangkan ia menjadi keperluan kepada kami penternak selain dapat mengelak lebih ramai penternak gulung tikar dan tidak sanggup menanggung kerugian.

“Inilah masanya kerajaan bantu kami semula mainkan peranan memberi subsidi kepada penternak agar harga ayam kekal dan tidak membebankan pengguna,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Katanya lagi, penternak kini sering berdepan masalah berikutan pulangan jualan di bawah modal, menanggung kos penternakan tinggi dan membebankan, tetapi tiada pilihan kerana harga siling ditetapkan pihak berwajib

Katanya, harga dedak kini juga sudah meningkat sehingga 30 peratus sekali gus mempengaruhi perjalanan perniagaan.

Justeru, beliau berpandangan, kerajaan perlu mencari mekanisme baharu untuk penyelesaian isu harga ayam secara jangka panjang.

“Kita tidak boleh lagi bergantung kepada makanan ayam dari luar negara selamanya, sebaliknya perlu ada strategi dalam menyelesaikan masalah ini.

“Kerajaan perlu mencari kaedah lain mendapatkan bekalan sendiri dengan penanaman jagung, untuk pengeluaran jagung berkualiti bagi menjimatkan kos yang akhirnya dapat memberikan harga rendah kepada pengguna.

“Saya tidak setuju dengan cara import kerana ia cuma penyelesaian jangka pendek yang akan menyebabkan penternak gulung tikar dan lama-kelamaan penternak semakin kurang dan akhirnya kita kekurangan makanan untuk rakyat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button