Berita UtamaDunia

Masyarakat antarabangsa digesa nyah beku aset kewangan Afghanistan

Rakyat jadi mangsa hidup dalam keadaan huru-hara ekoran sekatan antarabangsa

ISLAMABAD, 5 Rejab 1443H, Isnin – Presiden China, Xi Jinping mengadakan rundingan dua hala dengan Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan menggesa bantuan antarabangsa diberikan bagi membantu rakyat Afghanistan berdepan krisis kemanusian yang semakin kritikal.

Dalam satu kenyataan bersama, China dan Pakistan sekali lagi menggesa masyarakat antarabangsa supaya terus memberi sokongan selain menyahbekukan aset kewangan Afghanistan.

“Kedua-dua pihak kini bersedia mengadakan perbincangan dengan Afghanistan berhubung CPEC ke Afghanistan,” kata kenyataan berkenaan sambil merujuk kepada pelaburan berbilion dolar yang dikenali Koridor Ekonomi China-Pakistan atau CPEC menerusi Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) diasaskan China.

Ogos tahun lalu, selepas Taliban mengambil alih pentadbiran, sekatan antarabangsa terus dilakukan menyebabkan rakyat menjadi mangsa dan hidup dalam keadaan tidak sempurna dan huru-hara.

Situasi tersebut menyebabkan Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara barat membekukan aset bernilai lebih AS$9.5 bilion di Bank Pusat Afghan yang kebanyakan dipegang Bank Rizab Persekutuan New York.

Sekatan tersebut mendorong keadaan ekonomi Afghanistan yang selama ini bergantung kepada bantuan, berdepan kehancuran dan menyebabkan krisis kemanusian semakin kritikal.

Malah, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan kira-kira 24 juta penduduk berdepan kelaparan serius dan kematian.

Pentadbiran Biden juga mengakui kebimbangan berkenaan namun dilihat tidak komited untuk terus membantu menyelsaikan masalah.

Bulan lalu, Duta AS ke PBB, Linda Thomas -Greenfield berkata, Washington sedang membuat pilihan untuk mencari jalan penyelesaian dalam membantu menyelesaikan masalah yang dialami rakyat di negara berkenaan.

Sementara itu, China dan Pakistan memberi jaminan terus meningkatkan hubungan dengan kerajaan sementara Taliban melalui penerokaan beberapa jalan untuk meningkatkan bantuan kemanusiaan selain membuat kerjasama ekonomi dengan negara yang sedang dilanda krisis itu.

Media China yang memetik Xi sebagai berkata, pihaknya berikrar untuk bekerjasama dengan Pakistan untuk bersama-sama membina komuniti China-Pakistan yang lebih erat dengan masa depan yang dikongsi bersama dalam era baharu.

Langkah tersebut dilakukan supaya dapat membawa kesejahteraan yang lebih besar untuk rakyat di kedua-dua negara sekali gus dapat membantu negara jiran yang berdepan krisis kemanusian. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button