SPRM serbu pejabat MARA siasat dakwaan salah laku
Kumpul dokumen berkaitan salah laku beberapa pegawai agensi

Menurut sumber SPRM, serbuan dijalankan di Ibu pejabat MARA, Ibu Pejabat MARA Corporation dan di sebuah syarikat setiausaha korporat di sekitar ibu kota bermula kira-kira jam 10.30 pagi tadi melibatkan seramai 11 pegawai.
Difahamkan, serbuan berkenaan bagi mengumpul dokumen berkaitan salah laku yang dikaitkan dengan beberapa pegawai agensi itu yang sebelum ini ditularkan di laman sosial.
Pada Sabtu, SPRM mengesahkan menerima satu laporan berhubung dakwaan isu integriti melibatkan beberapa pegawai kanan MARA yang sedang disiasat secara dalaman oleh agensi berkenaan.
SPRM memaklumkan pihaknya memandang serius dakwaan itu dan siasatan akan dijalankan bermula Isnin dengan mengambil keterangan beberapa saksi daripada MARA Corporation.
“Siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009 yang berkaitan dengan kesalahan mana-mana pegawai badan awam yang menggunakan jawatan atau kedudukannya untuk mendapatkan suapan,” menurut kenyataan itu. – Bernama