Berita Utama

BN Perak perlu menang 16 kerusi Parlimen bantu bentuk Kerajaan Persekutuan

Tok Mat beri tugas berat kepada Saarani tambah lima lagi kerusi BN

IPOH, 25 Muharam 1444H, Selasa – Barisan Nasional (BN) Perak perlu memenangi 16 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi membantu gabungan itu membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, 16 kerusi Parlimen itu termasuk 11 yang disandang parti komponen BN.

“Bagi Perak, ibu pejabat BN dan jawatankuasa saya telah memberi tugas berat kepada Saarani (Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad) dan rakan-rakan untuk mengekalkan 11 kerusi penyandang.

“Kita mahu sekurang-kurangnya lima lagi kerusi Parlimen. Saya sudah membuat perhitungan, BN boleh tubuh kerajaan selepas PRU15 jika kita boleh memiliki semua kerusi ini,” katanya seperti dilapor NST.

Mohamad berkata demikian dalam sidang media selepas pra-pelancaran jentera pilihan raya BN Perak bagi mempersiapkan negeri dan ahli gabungan menghadapi PRU15 di Hotel Casuarina di Meru di sini, malam tadi.

Mohamad berkata, bagi peringkat negeri, BN menyasarkan memenangi 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk mempertahankan 27 kerusi yang disandang wakil UMNO.

“Kita perlu mengekalkan 27 kerusi DUN dan memenangi sembilan lagi kerusi. Untuk Tahap Satu, terdapat lima kerusi yang kita kalah dengan majoriti kurang daripada 1,000 undi, termasuk kerusi Chenderiang (yang kini dipegang oleh Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu).

“Untuk Tahap Dua, kita menyasarkan memenangi empat kerusi DUN. Kita perlu bekerja keras. Jika kita dapat kesemua sembilan kerusi dan mempertahankan 27 kerusi, kita boleh menang dengan majoriti selesa untuk membentuk kerajaan di Perak,” katanya.

Bagi merealisasikan misi ini, beliau menggesa ahli BN supaya mengetepikan kepentingan peribadi dan perselisihan faham kerana keutamaan sekarang adalah memenangi pilihan raya sekali gus membentuk kerajaan.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) menunggu petunjuk daripada semua parti komponen sama ada kita bersedia atau tidak (menghadapi PRU15).

“Tiada gunanya ada PRU sekarang jika kita tidak bersedia kerana pilihan raya adalah seperti peperangan. Menang adalah keutamaan kita. Kita tidak mempunyai pilihan lain selain daripada menang. Jika kita pergi berperang dengan mengetahui kita tidak bersedia dan kalah, maka itu satu pembaziran,” katanya.

Mengenai kesediaan BN di setiap negeri menghadapi PRU15, Mohamad berkata, beliau berpuas hati dengan segala persiapan yang dilakukan.

“Perak adalah negeri ke-11 dalam jelajah saya. Setakat ini, saya sudah pergi ke 10 negeri dan berpuas hati dengan semua persiapan jentera, malah beberapa pelarasan perlu dilakukan, tetapi secara keseluruhannya, saya berpuas hati,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button