Dunia

92 peratus perkhidmatan asas kesihatan terganggu akibat COVID-19: WHO

Perkhidmatan ambulans, ER turut terkesan pada hujung tahun 2021

GENEVA, 6 Rejab 1443H, Selasa – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendedahkan, 92 peratus perkhidmatan asas kesihatan daripada 129 negara terganggu akibat pandemik COVID-19.

WHO menerusi tinjauan yang dijalankan pada November hingga Disember 2021 menunjukkan, perkhidmatan kesihatan asas seperti program vaksinasi dan rawatan penyakit AIDS sebagai yang terkesan teruk berbanding pada awal 2021.

“Hasil tinjauan ini menunjukkan kepentingan tindakan segera untuk menangani cabaran sistem kesihatan utama, memulihkan perkhidmatan dan mengurangkan kesan pandemik COVID-19,” kata WHO dalam kenyataan pada Isnin.

Menurut WHO, penjagaan kecemasan termasuk perkhidmatan ambulans dan ER juga bertambah buruk pada tempoh sama, dengan 36 peratus negara melaporkan terkesan berbanding 29 peratus pada awal 2021 dan 21 peratus ketika tinjauan pertama pada tahun 2020.

Pembedahan elektif seperti penggantian pinggul dan lutut juga terganggu di 59 peratus negara dan jurang kepada penjagaan pemulihan serta paliatif dilaporkan kira-kira separuh daripadanya.

Tempoh tinjauan itu selaras dengan lonjakan kes COVID-19 di kebanyakan negara pada akhir 2021, berikutan gelombang varian baharu Omicron sehingga menyebabkan tekanan tambahan pada hospital.

Kenyataan WHO itu dikaitkan dengan skala gangguan kepada isu sistem kesihatan sedia ada serta penurunan permintaan untuk penjagaan, tanpa mengulas lanjut. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button