Berita Utama

Dakwaan PRN Kedah hanya gimik semata-mata

Kerajaan negeri masih dalam keadaan aman, stabil hingga kini

BANGI 6 Rejab 1443H, Selasa – Desas-desus kononnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah bakal diadakan selepas timbul dakwaan berlaku penarikan sokongan beberapa Ahli Dewan Undnagan Negeri (ADUN) terhadap kerajaan pimpinan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, dilihat sebagai gimik dan rekaan semata-mata.

Sebaliknya, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Kedah, Datuk Juhari Bulat berkata, kerajaan negeri masih dalam keadaan aman dan stabil sehingga hari ini.

Malah, beliau menyifatkan, tiada sebab untuk mengadakan PRN di negeri itu.

“Semua pihak perlu bersama-sama membangunkan negeri ini terutamanya selepas Kedah menjadi negeri yang menerima pelaburan tertinggi di Malaysia pada tahun lalu.

“Setakat ini, DUN Kedah stabil. Tidak ada dakwaan PRN akan berlaku di Kedah. Itu semua gimik. Semuanya baik di Kedah, tidak ada apa-apa,” katanya seperti dipetik portal tempatan, hari ini.

Juhari yang juga ADUN Ayer Hangat berkata demikian selepas diminta mengulas khabar angin mengenai PRN Kedah bakal diadakan selepas selesai PRN di Johor.

Pada 30 Januari lalu, Sanusi menafikan kerajaan negeri pimpinannya kini goyah susulan dakwaan dua ADUN daripada UMNO akan menarik sokongan.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai tangkap layar yang mendakwa dua ADUN UMNO dan dua ADUN Bebas di Kedah akan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri sekali gus menyebabkan berlaku PRN.

Bagaimanapun, berdasarkan semakan yang dibuat di akaun media sosial Facebook terbabit, tidak menemui status tersebut yang dipercayai telah dipadamkan.

Kerajaan Negeri Kedah pimpinan Sanusi ketika ini memiliki 23 kerusi DUN dengan PAS mempunyai kerusi tertinggi iaitu 15 kerusi diikuti Bersatu (enam) dan BN (dua).

Pakatan Harapan (PH) pula memiliki 11 kerusi iaitu PKR (lima), Parti Amanah Negara (empat) dan DAP (dua), sementara dua lagi kerusi dimiliki Parti Pejuang Tanah Air.

Sementara itu, ADUN Bandar Baharu, Datuk Nor Sabrina Mohd Noor yang dikaitkan dengan tular terbabit menafikan dan menyatakan masih menyokong kerajaan negeri.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button